PUTRAJAYA: Hubungan baik Malaysia di peringkat antarabangsa terus menjadi aset penting dalam menjaga kepentingan negara, khususnya ketika berdepan konflik global, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata, jaringan persahabatan dengan pemimpin dunia membolehkan Malaysia memainkan peranan lebih berkesan dalam menangani isu antarabangsa serta membantu kepentingan rakyat.
Sebagai contoh, Anwar menjelaskan, hubungan Malaysia dengan Iran, memastikan kepentingan negara, termasuk laluan kapal dagang Malaysia terus terpelihara.
“Dalam perbincangan saya dengan Presiden Iran, apabila saya sebut mengenai kapal Malaysia termasuk kapal PETRONAS, beliau memberi jaminan akan mengarahkan supaya segala yang perlu dilakukan bagi membolehkan kapal kita melalui Selat Hormuz dilaksanakan segera,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Pengangkutan di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Anwar berkata, pendekatan sama turut digunakan dalam hubungan rapatnya dengan Presiden Mesir, Abdel Fattah el-Sisi, dimanfaatkan untuk memastikan bantuan kemanusiaan Malaysia dapat disalurkan dengan lancar ke kawasan bergolak.
“Saya gunakan persahabatan itu untuk bercakap, bukan sahaja mengenai peperangan, tetapi juga bantuan kemanusiaan. Saya beritahu beliau bahawa ada 30 kontena bantuan Malaysia di Mesir dan minta laluan ke Rafah.
“Beliau memberi jaminan bahawa sebaik sahaja bantuan itu tiba, jentera mereka akan digerakkan untuk membantu,” katanya.
Selain itu, beliau menegaskan, Malaysia perlu mengekalkan hubungan baik dengan semua negara termasuk di rantau ASEAN, China dan Amerika Syarikat (AS) tanpa mengorbankan prinsip.
“Yang kita setuju, kita kata setuju. Yang tidak setuju, kita kata tidak setuju. Tetapi persahabatan itu penting untuk menjaga kepentingan negara,” katanya.-BH Online
