KUALA LUMPUR: Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir menyifatkan label bahawa institusi pendidikan tinggi (IPT) negara menjadi ‘lubuk’ rasuah sebagai tanggapan yang tidak adil.
Merujuk laporan sebuah akhbar dan portal beritanya semalam, beliau berkata: “Untuk katakan (IPT) sebagai ‘lubuk’ (rasuah) dan sebagainya, saya mohon kepada editor berkenaan, surat khabar berkenaan supaya tengok balik tajuk itu, takkan sampai begitu sekali.”
Beliau ditemui media selepas merasmikan Persidangan Rangkaian Penyelidikan Awam-Swasta (PPRN), di sini hari ini. Hadir sama, Timbalannya, Adam Adli Abdul Halim dan Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT), Prof Datuk Dr Azlinda Azman.
Dalam laporan berkenaan, akhbar itu mendakwa IPT yang sepatutnya menjadi pemangkin pembinaan integriti kini menjadi lubuk rasuah apabila gejala berkenaan menular secara senyap dalam ekosistem pendidikan negara.
Antara kes kes dipetik membabitkan bekas pensyarah sebuah IPT swasta yang didenda RM10,000 selepas didapati menerima rasuah kira-kira RM1,300 bagi memastikan lima pelajar lulus satu subjek.
“Saya tak katakan semuanya perfect, juga tidak kata sampai kononnya universiti tak boleh berfungsi langsung untuk bergerak kerana dilabel ‘lubuk’ segala-galanya. Jadi saya minta kepada editor surat khabar berkenaan, janganlah tulis sampai begitu,” tambah Zambry.
Beliau juga memberi jaminan, KPT bersikap terbuka dan tiada masalah sekiranya mana-mana agensi penguat kuasa, termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mahu menyiasat IPT tertentu yang terpalit dengan isu berkenaan.
“Apa pun perkara yang mengaitkan penyalahgunaan kuasa atau rasuah, di mana-mana institusi, sama ada universiti, politeknik dan sebagainya, perlu dipandang serius. Kita tidak akan sesekali bertolak ansur dalam apa saja hal, sama ada sikit atau banyak.
“Kalau masalah rasuah, memang masalah rasuah. Di peringkat kementerian juga, kita tidak halang SPRM nak masuk (siasat) semua (IPT) untuk buat kajian, semakan kes tertentu. Selama ini pun, di peringkat kementerian, kita memberikan kerjasama baik. Itu saya nak tegaskan,” katanya.
Dalam membendung isu tatakelola dan rasuah, Zambry berkata, KPT juga bekerjasama dengan Jabatan Audit Negara (JAN) kerana agensi itu menjadi rujukan penting untuk memperbetulkan isu tadbir urus.
“Ini (JAN) salah satu daripada tempat yang kita rujuk apabila melibatkan masalah masalah kewangan atau sesuatu projek yang dilaksanakan, termasuk sama ada proses dilakukan baik atau tidak. Semua kita rujuk.
“Segala teguran yang diberikan oleh pihak Audit Negara pun kita ambil tindakan. Jadi dalam erti kata yang lain, usaha dilakukan untuk terus memperbaiki (kelemahan),” katanya lagi.-BH Online
