Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

SUBANG, 7 April – Paras air di beberapa empangan di wilayah utara Semenanjung merekodkan peningkatan hasil Operasi Pembenihan Awan (OPA) yang bermula sejak Isnin.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, sehingga kini paras air di empangan terbabit merekodkan peningkatan memberangsangkan berbanding sebelum ini.

“Kejayaan OPA semalam, paras air mencatatkan peningkatan 0.01 meter di Empangan Timah Tasoh (Perlis) dan Empangan Pedu (Kedah),” katanya dalam sidang media di Pengkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di sini, hari ini.

Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid bagaimanapun berkata kawasan lain masih belum mencatatkan sebarang perubahan dan operasi tersebut bersambung hari ini yang akan dilakukan di Perlis dan Kedah.

“Ini kerana hasil kajian mendapati, tahap kepanasan di kawasan tersebut luar biasa jadi kita beri tumpuan supaya hujan turun bagi kegunaan domestik, industri dan pertanian,” katanya.

Semalam, operasi melibatkan kawasan Empangan Muda, Pedu dan Ahning serta Empangan Timah Tasoh membabitkan penggunaan pesawat C130-Hercules milik TUDM.

Operasi yang bermula pada pukul 2.40 petang di kawasan Muda, Pedu dan Ahning sebelum diteruskan ke kawasan Timah Tasoh pada pukul 3.25 petang.

Berdasarkan cerapan radar cuaca, hujan mula turun sekitar pukul 3.30 petang di kawasan Empangan Muda sebelum menjadi lebih meluas dan berterusan meliputi semua kawasan sasaran di Kedah dan Perlis antara pukul 6 petang hingga 8 malam.

Liputan hujan turut merangkumi kawasan tadahan utama empangan yang terlibat dengan taburan hujan di Perlis merekodkan antara 29.8 milimeter hingga 34.7 milimeter dalam tempoh sejam antara pukul 7 hingga 8 malam, manakala di Kedah pula antara 9.3 milimeter hingga 30.9 milimeter dalam tempoh sama.-BH Online