KUALA LUMPUR, 7 April – Malaysia menegaskan isu Laut China Selatan mesti diselesaikan secara aman melalui ASEAN tanpa campur tangan kuasa luar, sambil mempertahankan kedaulatan negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, walaupun wujud pertindihan tuntutan, Malaysia dan China kekal komited mengelakkan ketegangan serta mengutamakan pendekatan diplomasi.
Beliau berkata pelaksanaan Kod Tatalaku ASEAN-China perlu dipercepat bagi menjamin keselamatan dan kestabilan serantau.
“Kami akan bertemu semula dengan pemimpin ASEAN di Filipina bulan depan. Kami akan menyampaikan perkara yang sama, bahawa kami akan menuntut Kod Tatalaku antara ASEAN dan China yang telah dipersetujui untuk mengamankan dan menyelesaikan masalah ini tanpa campur tangan kuasa lain.
“Malaysia kekal tegas mempertahankan hak dan kebebasan dalam menyelesaikan perbezaan secara sendiri,” katanya dalam sesi soal jawab Dialog Kuala Lumpur – Ankara 2026, di sini.
Dalam perkembangan sama, beliau menegaskan ASEAN harus terus memainkan peranan utama dalam mengurus isu strategik termasuk keselamatan maritim dan kepentingan di Selat Melaka.
“Berhubung Selat Melaka, Malaysia berpandangan bahawa ASEAN perlu memainkan peranan utama kerana ia melibatkan kepentingan negara-negara serantau. Lautan Hindi yang berdekatan turut menjadikan kerjasama ini lebih penting,” katanya.-Berita RTM
