Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

TASEK GELUGOR: Ketidaktentuan global susulan krisis Asia Barat membuka ruang untuk Malaysia memperkukuhkan kedudukan sebagai hab halal yang stabil, dipercayai dan berdaya tahan, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Pengerusi Majlis Halal Negara, berkata dalam dunia yang semakin tidak menentu, industri halal global tidak lagi hanya berdepan cabaran pasaran, sebaliknya turut terkesan secara langsung dengan perkembangan geopolitik antarabangsa.

Menurutnya, konflik di Asia Barat ketika ini, khususnya membabitkan laluan strategik seperti Selat Hormuz, memberi kesan besar kepada rantaian bekalan global.

“Gangguan ini bukan sahaja menjejaskan sektor tenaga, tetapi turut mencetuskan kesan domino kepada industri halal, daripada peningkatan kos logistik, kelewatan penghantaran sehinggalah ketidaktentuan akses pasaran.

“Produk halal, khususnya makanan segar dan barangan bersuhu terkawal sangat bergantung kepada kecekapan rantaian bekalan global yang stabil. Pada masa sama, kenaikan harga tenaga dan bahan mentah turut memberi tekanan kepada kos pengeluaran.

“Namun, di sebalik cabaran ini, terdapat satu realiti yang perlu kita lihat dengan lebih strategik bahawa ketidaktentuan global ini sebenarnya membuka ruang untuk Malaysia memperkukuh kedudukan sebagai hab halal yang stabil, dipercayai dan berdaya tahan,” katanya.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Projek Pembangunan Industri, Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA) Halal Park di Kubang Menerong, di sini hari ini.

Projek taman industri halal fasa 2 yang berkeluasan lebih empat hektar itu menelan peruntukan RM33 juta, membabitkan pembinaan 22 unit premis industri teres satu tingkat, pejabat pentadbiran, dewan serba guna, kompleks makanan dengan lima unit gerai, surau dan pusat pengumpulan sampah.

Hadir sama, Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) Datuk Rubiah Wang; Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid, Pengerusi PERDA, Datuk Dr Shaik Hussein Mydin dan Pengerusi Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

Ahmad Zahid berkata, keupayaan Malaysia mempelbagaikan pasaran eksport, mengukuhkan rantaian bekalan domestik dan meningkatkan kecekapan logistik akan menjadi faktor penentu dalam memastikan industri halal negara terus berkembang walaupun dalam suasana global yang mencabar.

“Inilah masa untuk kita beralih daripada sekadar bergantung pada sistem global kepada membina kekuatan dalaman lebih kukuh, lebih tersusun dan lebih berdaya tahan,” katanya.

Beliau memberi jaminan pihaknya komited menghubungkan pengusaha dengan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan pasar raya besar di luar negara. 

“Kita akan berusaha memastikan setiap produk yang keluar dari inisiatif ini mempunyai pasport untuk menembusi pasaran ASEAN, Asia Barat, Eropah dan Asia Timur melalui platform perdagangan digital dan pameran antarabangsa seperti MIHAS (Pameran Halal Antarabangsa Malaysia)

“Aspirasi utama KKDW adalah untuk mencipta lebih banyak halal champions dalam kalangan Bumiputera kerana kita mahu melahirkan usahawan yang bukan sahaja berdaya tahan dalam pasaran tempatan, tetapi juga ‘berani tarung’ di pasaran antarabangsa.

“Melalui pembangunan wilayah yang seimbang, kita berharap pusat industri seperti ini dapat menjana peluang ekonomi kepada penduduk setempat, mengurangkan penghijrahan belia ke kota dan meningkatkan taraf hidup komuniti luar bandar secara keseluruhannya,” katanya.-BH Online