PUTRAJAYA: Pelaksanaan Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026) akan dilanjutkan hingga penghujung 2027.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata ia diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kebangsaan Induk VM2026 kali kedua hari ini.
Beliau berkata, keputusan perlanjutan itu akan dibawa ke Mesyuarat Jemaah Menteri untuk pertimbangan serta persetujuan selanjutnya.
“Keputusan ini diambil bagi membolehkan Malaysia mengambil pendekatan proaktif dalam memperkukuh strategi promosi, menonjolkan negara sebagai destinasi yang selamat, stabil dan berdaya saing serta merebut peluang daripada perubahan corak perjalanan pelancong,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media hari ini.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kebangsaan Induk VM2026, berkata langkah berkenaan juga diambil dengan mengambil kira perkembangan semasa, termasuk konflik yang tercetus di Asia Barat pada 28 Februari lalu, yang memberi kesan ketara terhadap kestabilan serantau.
Jawatankuasa itu terdiri daripada enam jawatankuasa kerja diterajui Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya,
Kementerian Komunikasi, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta Kementerian Pengangkutan, dengan keanggotaan daripada pelbagai agensi kerajaan berkaitan.
Beliau berkata, konflik itu turut menjejaskan sektor pelancongan global.
Katanya, unjuran yang dibuat juga menunjukkan ketibaan pelancong dari Asia Barat boleh merosot antara 11 peratus hingga 27 peratus, atau kehilangan sehingga 38 juta pelawat, membabitkan kerugian mencecah AS$56 bilion.
“Ini memberi kesan kepada negara-negara tumpuan pelancongan di Asia dan ASEAN.
“Konflik ini juga mengganggu laluan penerbangan antarabangsa, meningkatkan kos perjalanan dengan kenaikan harga minyak dan kos pengangkutan.
“Keadaan ini juga menurunkan keyakinan pelancong, yang dijangka memberi implikasi kepada aliran pelancongan dunia dalam jangka masa terdekat,” katanya.
Justeru, Ahmad Zahid berkata, mesyuarat berkenaan yang diadakan hari ini di Putrajaya, membincangkan serta meneliti perkara-perkara berkenaan.
Pada masa sama, beliau berkata, mesyuarat berkenaan turut dilaksanakan bagi menyelaras program dan aktiviti yang sudah dilaksanakan serta merancang langkah-langkah bagi merancakkan kempen VM2026.
“Usaha ini bertujuan memperkukuh kerjasama strategik, menarik lebih ramai pelawat, meningkatkan tempoh penginapan serta perbelanjaan pelancong, dan menonjolkan Malaysia sebagai destinasi selamat, stabil dan berdaya saing,” katanya.-BH Online
