Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PUTRAJAYA: Kerajaan terus memperkukuh pendekatan pengurusan pelarian dan pemohon suaka di negara ini melalui penyelarasan antara agensi bagi memastikan aspek keselamatan negara sentiasa terpelihara, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Beliau yang mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Kluster Keselamatan Pengurusan Pelarian dan Pemohon Suaka hari ini, berkata pendekatan negara mengurus isu berkenaan diteliti semula ekoran isu itu semakin mencabar yang memerlukan perhatian berterusan.

“Perbincangan memberikan tumpuan kepada usaha memperkukuh koordinasi antara agensi dan memastikan aspek keselamatan negara terus terpelihara, di samping pengurusan isu ini dilaksanakan secara lebih tersusun dan berkesan,” katanya menerusi hantaran di Facebook rasmi, di sini hari ini.

Beliau berkata Program Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP) yang telah bermula pada 1 Jan lepas merupakan langkah penting ke arah pengurusan yang lebih teratur.

Melalui inisiatif itu, kerajaan dapat mengumpulkan data yang lebih jelas dan menyeluruh supaya proses kawal selia dapat dilaksanakan dengan lebih sistematik dan berkesan.

“Insya-Allah, usaha penambahbaikan ini akan terus diperkukuh dari semasa ke semasa agar pengurusan isu ini lebih jelas, terkawal dan memberikan manfaat kepada semua pihak,” katanya.

Selain daripada agensi Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang terkait perkara ini, mesyuarat hari ini turut dihadiri oleh wakil-wakil daripada Majlis Keselamatan Negara, Kementerian Luar Negeri, Kementerian Peruamahan dan Kerajaan Tempatan, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia dan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia.– BERNAMA