SEPANG: Misi Bantuan Kemanusiaan 30 Kontena Malaysia ke Gaza dijangka mampu memberi manfaat kepada kira-kira 100,000 penduduk di wilayah bergolak itu.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata usaha berkenaan melibatkan penghantaran kandungan bantuan kemanusiaan seberat 374 tan hasil sumbangan pelbagai pihak.
Beliau yang juga penaung misi menegaskan gerakan tersebut bukan sekadar simbolik, sebaliknya bertujuan menyalurkan bantuan kecemasan secara terus kepada rakyat Gaza.
“Misi ini bukan sekadar himpunan solidariti, tetapi satu inisiatif menembusi sempadan yang telah lama dikuasai Israel,” ujarnya ketika Majlis Flag-off Misi Bantuan Kemanusiaan 30 Kontena Malaysia ke Gaza, di sini, pada Isnin.
Tegasnya lagi, beliau memegang satu amanah besar untuk mengetuai misi mewakili kerajaan Malaysia bagi membawa mesej keamanan serta pembebasan rakyat Palestin daripada kepungan yang berterusan.
“Misi ini bakal berdepan pelbagai cabaran seperti yang dialami misi lain sebelumnya, namun usaha bersepadu antara kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan rakyat, Insya-Allah mampu memastikan kejayaannya.
“Teruskan berdoa rakyat Malaysia agar matlamat misi tercapai dan lebih banyak laluan dibuka untuk bantuan disalurkan ke Gaza,” kata Amirudin.
Mengikut perancangan, Amirudin akan berlepas dari Malaysia dalam masa terdekat dan kemudian mengikuti pelepasan kontena membawa 374 tan bantuan kemanusiaan di Kaherah.
Difahamkan kesemua kontena berkenaan kini berada di lokasi transit iaitu sebuah gudang milik Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) sekitar Ismailia berhampiran terusan Suez.
Beliau seterusnya bakal mengadakan satu sidang media khas di pintu sempadan Rafah untuk menyatakan pendirian Malaysia terhadap isu kepungan Gaza.-Astro Awani
