PUTRAJAYA: Lembaga Tabung Haji (TH) memperkenalkan inisiatif Haji Lestari bagi musim haji 1447H/2026 sebagai usaha memupuk budaya sifar sisa dalam kalangan jemaah menerusi pengurusan dan kitar semula kain ihram terpakai.
Inisiatif itu dilancarkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan, hari ini.
Zulkifli berkata, ia selaras tuntutan maqasid syariah dalam memperkasakan usaha memelihara dan memulihara alam sekitar, selain meningkatkan kesedaran jemaah terhadap tanggungjawab bersama untuk menjayakan ibadah haji yang lebih bersih serta lestari.
Tambahan pula, beliau berkata, kain ihram yang digunakan jemaah lazimnya hanya disimpan atau dibuang selepas musim haji.
“Justeru melalui inisiatif ini, tekstil terbiar dapat dimanfaatkan semula untuk masyarakat dan alam sekitar, di samping meningkatkan kesedaran jemaah haji terhadap tanggungjawab bersama bagi menjayakan haji yang lebih bersih serta lestari,” katanya pada Majlis Perasmian Kursus Perdana Haji Peringkat Wilayah Persekutuan di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, di sini, hari ini.
Zulkifli berkata, Haji Lestari akan dilaksanakan melalui dua fasa, iaitu di Tanah Suci dan tanah air.
Beliau berkata, lokasi pengumpulan disediakan di penginapan di Makkah dan Mina bagi memudahkan jemaah menyumbangkan kain ihram yang mereka tidak bercadang bawa pulang, untuk dikitar semula.
Bagi pelaksanaan di tanah air pula, ia membabitkan inisiatif kitar tinggi atau upcycle dengan kain ihram yang dikumpulkan akan diproses bagi penghasilan beberapa produk baharu.
Jemaah haji dan umrah yang ingin menyumbangkan kain ihram terpakai, boleh hadir ke pejabat cawangan TH terpilih di setiap negeri untuk menyerahkannya mulai Oktober 2026.
Zulkifli berkata, pada masa depan, program itu dijangka diperluaskan kepada pengumpulan barangan lain seperti tuala, beg serta pakaian, sekali gus mentransformasikan bahan terpakai daripada sisa kepada manfaat yang lebih bermakna kepada masyarakat dan alam sekitar.
Dalam pada itu, beliau menasihati jemaah supaya sentiasa berwaspada akan perkembangan semasa, termasuk situasi geopolitik di rantau Asia Barat, dan mematuhi segala arahan ditetapkan TH sepanjang berada di Tanah Suci.
Katanya, Kerajaan Malaysia dan TH sentiasa memantau perkembangan semasa serta bekerjasama rapat dengan Kerajaan Arab Saudi yang telah memberi jaminan keselamatan dan kebajikan jemaah haji sentiasa terpelihara.
Zulkifli berkata, kesemua 31,600 bakal haji Malaysia sedang mempersiapkan diri untuk fasa bimbingan akhir melalui Kursus Perdana Haji yang diadakan secara berperingkat di masjid-masjid terpilih seluruh negara bermula semalam hingga 12 April ini.
“Alhamdulillah, melalui kursus perdana ini, TH dapat mempersiapkan bakal haji dari aspek mental, fizikal serta kefahaman menerusi modul praktikal manasik haji seperti tawaf, sai dan melontar jamrah dengan jumlah jemaah yang ramai, agar ia memberi gambaran suasana yang menghampiri keadaan di Tanah Suci,” katanya.
Penerbangan kumpulan jemaah haji Malaysia ke Tanah Suci dijadualkan bermula 18 April ini hingga 20 Mei depan, manakala penerbangan pulang ialah dari 4 hingga 30 Jun membabitkan 100 penerbangan sewa khas.-BH Online
