KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) memulakan siasatan dalaman bagi meneliti pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang berkaitan, susulan insiden dua pelajar Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Perlis yang ditemukan lemas, semalam.
Menterinya, Fadhlina Sidek, dalam hantaran di Facebook hari ini berkata kejadian itu juga turut berada dalam siasatan pihak berkuasa.
Beliau berkata, KPM juga sedang menguruskan bantuan terbaik kepada keluarga pelajar yang terbabit dengan memberi keutamaan kepada aspek kebajikan dan kesejahteraan mereka.
“Mewakili seluruh keluarga KPM, saya merakamkan ucapan takziah kepada keluarga dua pelajar IPG Kampus Perlis yang mengalami kemalangan sewaktu mengikuti Program Pendidikan Luar Kampus semalam.
“Semoga seluruh keluarga diberi kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi ujian ini,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan, berkata tragedi semasa aktiviti berkayak itu, dipercayai berpunca daripada ombak dan arus kuat.
Bagaimanapun beliau berkata, pihaknya akan merujuk kes terbabit kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) untuk siasatan lanjut.
“Siasatan awal mendapati kayak (dinaiki mangsa) terbalik akibat ombak dan arus, sebelum mangsa ditemukan tersangkut pada jaring nelayan tempatan.
“Kita juga akan merujuk laporan polis kepada Maritim Malaysia untuk siasatan punca kemalangan di laut,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang semalam, dua pelajar IPG itu ditemukan meninggal dunia akibat lemas semasa melakukan aktiviti berkayak di Pantai Merdeka.
Mayat Christopher Ling Jia Siang, 21, dan Joey Ling Lin Siang, 20, dilaporkan ditemukan pada jam 7.30 malam semalam.
Hanyan berkata, kedua-dua mangsa memakai jaket keselamatan ketika menjalankan aktiviti terbabit dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).-Fadhlina
