KOTA BHARU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menggunakan kekuatan anggota penguat kuasa sedia ada bagi memantau sempadan termasuk stesen minyak dalam usaha mengekang ketirisan.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata kerjasama di antara agensi lain termasuk Pasukan Gerakan Am (PGA) akan terus diperkukuh bagi memastikan pemantauan di sempadan dilakukan secara menyeluruh.
“Buat masa ini tiada penambahan pegawai baru untuk di sempadan kerana implikasi kewangan yang besar kepada kerajaan.
“Jadi kita akan mengoptimumkan sumber sedia ada merentasi pelbagai agensi bagi menangani penyelewengan atau penyorokan bekalan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika hadir Taklimat Penguatkuasaan Ops Tiris 4.0 (Bersepadu) dan Akta Kawalan Bekalan 1961 di sini, hari ini.
Armizan berkata, pihaknya turut menjalankan pemantauan harian yang dilakukan secara digital melalui dashboard pangkalan data.
Media sebelum ini melaporkan, sebanyak 48 stesen minyak yang beroperasi dalam lingkungan 25 kilometer dari sempadan negara di Kelantan dikenal pasti berisiko tinggi berlakunya aktiviti ketırisan subsidi.
Timbalan Pengarah KPDN Kelantan, Aswadi Jaafar dilaporkan berkata, pihaknya kini meningkatkan kekerapan pemeriksaan di stesen minyak terbabit bagi mengelakkan penyelewengan bahan bakar oleh pihak tidak bertanggungjawab.-BH Online
