Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan terus memperkukuh langkah menangani krisis tenaga global dengan penekanan terhadap usaha melindungi kebajikan rakyat, kata Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil. 

Dalam hantaran melalui Facebook hari ini, beliau berkata perkara itu diberi fokus dalam sesi penerangan bersama timbalannya yang juga Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching di Kulai, malam tadi.

“Dalam menghadapi cabaran global, kekuatan kita lahir daripada disiplin, diperkukuh dengan kerjasama dan disokong oleh keyakinan.

“Insya-Allah, Malaysia akan terus kekal teguh, stabil dan berdaya tahan menghadapi apa jua rintangan,” kata Fahmi.

Dalam pada itu, beliau turut menggesa orang ramai memanfaatkan aplikasi PriceCatcher bagi membuat semakan harga dan pilihan pembelian yang bijak.

PriceCatcher yang dibangunkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan dilancarkan pada Mac 2019, memaparkan harga 480 barangan terpilih di pasar basah, pasar raya besar, pasar raya, pasar mini dan kedai runcit.

Terdapat enam kategori barangan yang dipantau, iaitu barangan segar, barangan kering, barangan berbungkus, susu dan barangan bayi, produk kebersihan serta minuman.– BERNAMA