KOTA TINGGI: Hasil rampasan dan kutipan penalti akibat ketirisan subsidi berjumlah hampir RM15.5 bilion dapat membantu kerajaan bagi menampung subsidi dalam situasi krisis tenaga global akibat konflik di Asia Barat, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata, kerajaan bekerja keras melawan ketirisan melalui pelbagai agensi dan organisasi dalaman sehingga berjaya menyelamatkan wang negara yang hilang.
“Dalam dua tahun yang lalu, kita kumpul semula RM15.5 bilion yang hilang. Kita perlu tahu bagaimana wang itu boleh selamat dan di mana kebocoran berlaku, di tangan orang-orang tertentu. Ini kita kena hentikan.
“Maknanya kalau kita nak jaga negara ini, jangan curi wang orang, curi tanah orang, bolot kekayaan peribadi dan keluarga, miskin dan batin yang dikatakan itu. Kita cuba sedaya upaya menjaga negara. Oleh kerana itu, kita pakai cekap urus,” katanya berucap pada Program Perdana Menteri Bersama Warga Peneroka FELDA, di FELDA Semenchu, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) merangkap Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan serta Pengerusi FELDA, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.
Anwar berkata, kerajaan ketika ini menanggung subsidi bahan api yang tinggi sebanyak kira-kira RM6 bilion sebulan bagi memastikan harga seperti RON95 kekal rendah berbanding negara lain.
Beliau berkata, sekiranya krisis itu berterusan, jumlah ini boleh mencecah RM60 bilion dalam tempoh 10 bulan.
“Walaupun kos meningkat, kita tetap pertahankan subsidi supaya rakyat tidak terbeban seperti di negara lain yang berdepan harga bahan api jauh lebih tinggi,” katanya.
Beliau turut menekankan perlunya menang kuasa politik, kuasa sosial dan kuasa kerja untuk memastikan pengurusan kewangan negara yang cekap.
“Usaha kerajaan untuk mencari jalan penyelesaian dilakukan setiap hari, termasuk dalam mesyuarat Kabinet bagi mengawal harga, mengurangkan cukai jika perlu dan membantu rakyat menghadapi cabaran ekonomi global,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Anwar memberi jaminan bahawa agenda pembangunan FELDA akan terus diperkasa termasuk aspek pendidikan, kemudahan asas dan kesejahteraan komuniti peneroka.
Sehubungan itu, beliau mengumumkan peruntukan sebanyak RM500,000 bagi menaik taraf kemudahan asas di FELDA Semenchu bagi menambah baik kemudahan awam termasuk sekolah, masjid dan infrastruktur.-BH Online
