Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

IPOH, 5 April – Kira-kira 80,000 individu berjaya memiliki rumah menerusi manfaat Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) setakat hari ini.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, kerajaan menyasarkan 100,000 rakyat menerima manfaat SJKP menjelang hujung tahun ini.

Beliau berkata jumlah dana yang diperuntukan dan dijamin oleh kerajaan bagi melaksanakan inisiatif berkenaan mencecah RM40 bilion, tertinggi setakat ini.

“Skim ini akan terus diperkasakan bagi membantu golongan yang tidak mempunyai slip gaji tetap, termasuk pekerja gig, untuk memiliki rumah pertama mereka,” katanya ketika ditemui selepas menyempurnakan perasmian penutup Program Madani Rakyat (PMR) 2026 Perak yang berlangsung di Bulatan Sultan Azlan Shah, Meru Raya, di sini yang berakhir hari ini.

Skim itu membantu golongan berpendapatan rendah dan sederhana, khususnya tanpa pendapatan tetap, mendapatkan pembiayaan perumahan.

SJKP diperuntukkan khusus kepada golongan B40 dan M40, termasuk mereka yang tidak mempunyai pendapatan tetap atau penyata gaji seperti pekerja ekonomi gig.

Melalui skim tersebut, pembiayaan sehingga RM500,000 disediakan bagi pembelian kediaman baharu, rumah ‘subsale’ serta unit lelongan.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai usaha kementerian dalam memastikan kos bahan binaan terkawal susulan krisis tenaga global, beliau berkata Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menerusi Jabatan Perumahan Negara akan membantu mencari ikhtiar supaya jumlah kos tersebut tidak akan membebankan.

“KPKT akan mencari ikhtiar supaya jumlah kos bahan binaan berada dalam keadaan yang terkawal. Sebab itu kita telahpun memberikan RM4 bilion subsidi, khususnya kepada semua pengangkutan awam termasuk kenderaan perdagangan yang mengangkut bahan binaan,” katanya.-Berita RTM