IPOH: Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan penghantaran Misi Kemanusiaan 30 Kontena Malaysia ke Gaza dan delegasi Global Sumud Flotilla 2.0 diketuai Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, esok, sebagai sedekah jariah bagi membantu rakyat wilayah itu yang sedang mengharungi kesusahan, termasuk kebuluran.
Perdana Menteri berkata, bantuan yang turut merangkumi bekalan ubat-ubatan itu tetap diberikan walaupun Malaysia tidak ketinggalan mendapat tempias kesan terhadap ekonomi susulan konflik di Asia Barat.
Malah, katanya, beliau menghubungi Presiden Mesir, Abdel Fattah el-Sisi yang menganggap Malaysia sebagai sahabat, supaya tolong membuka laluan bagi membolehkan kontena bantuan terbabit dibawa ke Gaza.
“Ada orang dok (asyik) main (isu): Oh, Anwar ini telefon saja… kalau tidak telefon, kita tidak boleh lepas untuk ke Rafah.
“Saya kena menelefon Presiden Abdel Fatah el-Sisi yang menganggap kita sebagai sahabat, minta tolong buka laluan untuk 30 kontena itu.
“Orang sana (Gaza) kebuluran, masih kita tolong. Maknanya dalam kita susah pun, kita cuba membantu orang yang lebih susah daripada kita. Semangat ini harus ada memandangkan ia sedekah jariah dan bukan orang kaya saja yang bagi sedekah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Jalinan Mesra MADANI Taman Perpaduan Koperasi, Tambun, di pekarangan Masjid Ar- Rashid, di sini, hari ini.
Sementara itu, Anwar menjelaskan bahawa selain pendekatan berjimat cermat oleh kerajaan dalam menghadapi impak konflik di Asia Barat, beliau mahu menunjukkan contoh terpuji dengan tidak mengambil gaji sebagai Perdana Menteri dan Ahli Parlimen Tambun sejak tiga tahun lalu memandangkan ekonomi negara masih dalam proses pemulihan.
“Gaji Perdana Menteri dan Ahli Parlimen Tambun sudah tiga tahun saya tidak ambil. Saya fikir kalau ekonomi sudah baik, maka saya hendak ambillah balik sebab orang lain semua dapat gaji… tetapi ekonomi tak elok pula sekarang.
“Tidak mengapa, saya tidak miskin kerana saya datang ke sini dengan kapal terbang kerajaan, kereta kerajaan… Jadi saya tak susah, namun saya kena beritahu kawan-kawan saya supaya berjimat,” katanya.
Bagaimanapun, Anwar berkata, pendiriannya tidak mengambil gaji Perdana Menteri dan Ahli Parlimen bukan satu ketetapan yang harus diikuti pemimpin kerajaan lain seperti Menteri Besar memandangkan ia adalah hak masing-masing, selagi perkara haram seperti mencuri kekayaan atau rasuah dihindari.
“Ada orang lain pula kata kalau Perdana Menteri tidak mengambil gaji, maka fasal apa Menteri Besar ambil gaji… ini pun hujahnya tidak betul sebab itu (gaji) adalah hak dia. Yang kita tidak mahu bagi ialah curi dan rasuah,” katanya.-BH Online
