SHAH ALAM, 3 April – Satu pasukan petugas khas akan ditubuhkan kerajaan negeri Selangor bagi menangani cabaran semasa susulan krisis tenaga global.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, penubuhan itu akan diumumkan selewat-lewatnya Isnin depan, manakala satu mesyuarat bagi memuktamadkannya akan diadakan hari ini.
Jelas beliau, pasukan tersebut akan melibatkan pakar daripada pelbagai bidang termasuk ekonomi, kewangan serta industri seperti minyak dan gas.
“Sebenarnya dalam pertemuan yang lepas, saya telah meminta jabatan dan GLC mencadangkan aktiviti serta program. Pasukan khas ini akan merangka kerangka dan sokongan yang akan dilaksanakan bagi menangani situasi semasa. Sudah pasti kita akan bekerjasama dan menyelaraskan dengan langkah yang diambil kerajaan Persekutuan.
“Cadangan program dan pelaksanaannya akan diumumkan secara berperingkat, namun kerangka keseluruhan perlu difahami bagi memastikan isu sebenar dapat ditangani dengan berkesan,” katanya kepada pemberita pada Program Jelajah Taat Setia MADANI peringkat negeri Selangor di Dewan Raja Muda Musa.
Menurut beliau lagi, inisiatif itu akan memberi tumpuan kepada kesejahteraan rakyat serta kelestarian ekonomi negeri.
Sementara itu, beliau turut memaklumkan, Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor yang dijadualkan bermula 20 April ini akan berlangsung seperti biasa dan tiada penangguhan.
“Persidangan itu penting sebagai platform untuk kerajaan negeri menjelaskan langkah yang diambil dalam menangani isu semasa,” katanya.-Berita RTM
