Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: MyDIGITAL Corporation akan bekerjasama dengan Oracle bagi melatih 300,000 rakyat Malaysia dalam bidang kecerdasan buatan (AI) untuk meningkatkan kebolehpasaran dan menyokong perkembangan kerjaya menjelang 2029.

MyDIGITAL Corporation ialah agensi yang memacu pelaksanaan inisiatif di bawah Pelan Tindakan Ekonomi Digital Malaysia serta dasar Revolusi Perindustrian Keempat (4IR) negara.

Dalam hantaran di Facebook, Gobind Singh Deo berkata seramai 300,000 rakyat Malaysia merangkumi pelajar dan profesional akan diperkasakan melalui latihan kemahiran serta teknologi AI secara percuma, lengkap dengan pensijilan global.

“Saya telah melancarkan Inisiatif Pembangunan Kemahiran (SDI) Oracle, hasil kerjasama Oracle dengan MyDIGITAL Corporation di acara Oracle AI Experience Live 2026.

“Inisiatif ini bakal meningkatkan kebolehpasaran dan menyokong perkembangan kerjaya menjelang 2029. Lebih 200 jam diperuntukkan bagi pembelajaran dan pensijilan menerusi laluan pembelajaran berstruktur selama tiga tahun,” katanya.

Beliau berkata latihan itu merangkumi pelbagai teknologi termasuk Oracle Cloud Infrastructure (OCI), OCI Generative AI, OCI Data Science, Oracle APEX, OCI DevOps serta OCI Security.

Program berkenaan boleh diakses secara percuma melalui Oracle MyLearn, iaitu platform latihan dan pemerkasaan komprehensif yang disediakan oleh Oracle University.

Menurut Gobind, pembangunan dan pemerkasaan bakat digital amat penting dalam usaha merealisasikan aspirasi Malaysia untuk muncul sebagai negara berteraskan AI menjelang 2030.-Bernama