JOHOR BAHRU: Lebih 150 pelabur global berpotensi tinggi di Shanghai, China, menyatakan minat bagi meneroka peluang pelaburan bernilai tinggi di negeri ini menerusi Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, ia sekali gus membuktikan Johor akan terus memperkukuh langkah sebagai destinasi pelaburan utama serantau.
“Dalam suasana dunia yang semakin mencabar akibat ketidaktentuan geopolitik, perkembangan ini membuktikan bahawa keyakinan global terhadap Johor bukan sahaja kekal kukuh, malah terus meningkat sebagai destinasi pelaburan utama di rantau ini.
“Ia turut membuka ruang kepada pelabur menjadikan Johor sebagai pintu masuk ke ASEAN, sekali gus merancakkan ekonomi negeri dan memastikan manfaatnya dapat dirasai oleh rakyat melalui peluang pekerjaan serta pembangunan yang lebih menyeluruh,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.
Terdahulu, beliau bersama Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia negeri, Lee Ting Han serta rombongan kerajaan negeri menghadiri sesi libat urus strategik bersama lebih 150 pelabur global itu di Shanghai, China.
Sesi libat urus bersama China Construction Bank (CCB) itu menghimpunkan hampir 20 syarikat pelabur daripada sektor berimpak tinggi seperti bioteknologi, pembuatan, digital, tenaga dan aeroangkasa.
Onn Hafiz berkata, CCB adalah antara bank terbesar dunia dengan rangkaian lebih 13,000 cawangan di seluruh China, sekali gus memainkan peranan penting dalam sistem kewangan global serta menjadi peneraju dalam pembiayaan sektor korporat, infrastruktur dan pelaburan berskala besar.
Pada masa sama, beliau berkata, kerajaan negeri memberi tumpuan kepada usaha menarik pelaburan berkualiti yang mampu mewujudkan peluang pekerjaan berpendapatan tinggi, memacu pemindahan teknologi baharu serta merancakkan pertumbuhan ekonomi negeri.
“Semoga usaha berterusan ini dapat memperkukuh kedudukan Johor dalam rantaian ekonomi serantau dan global, sekali gus membuka lebih banyak peluang pekerjaan berkualiti dan memberi manfaat secara langsung untuk negeri dan rakyat Johor,” katanya.-BH Online
