KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menyediakan 86,552 tempat untuk lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 di institusi pendidikan tinggi awam (IPTA) bagi program pengajian peringkat sijil, asasi dan diploma.
Pengarah Bahagian Kemasukan Pelajar IPTA (BKPA) Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT), Mohd Najib Mohd Sarif, berkata unjuran bagi Sesi Akademik 2026/2027 itu merangkumi penempatan di universiti awam, politeknik, kolej komuniti dan Bahagian Pendidikan Tinggi MARA (MARA BPT).
“Jumlah keseluruhan unjuran lepasan SPM Sesi Akademik 2026/2027 bagi kemasukan ke program pengajian pada peringkat sijil, asasi dan diploma membabitkan 20 Universiti Awam (UA), 36 Politeknik, 106 Kolej Komuniti dan MARA BPT adalah sebanyak 86,522,” katanya kepada BH.
Sambung pengajian di IPTS
Mengulas lanjut, Mohd Najib berkata, selain permohonan kemasukan ke IPTA melalui UPUOnline, lepasan SPM 2025 boleh menyambung pengajian ke institusi lain, termasuk institusi pendidikan tinggi swasta (IPTS).
“Antara laluan yang boleh dimohon bagi calon lepasan SPM, selain permohonan UPUOnline adalah permohonan secara terus kepada IPTA/IPTS pilihan calon.
“Selain itu, mereka juga boleh mohon terus kepada Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) melalui laman sesawang ambilan MyPOLYCC dan boleh juga (kemuka permohonan) secara terus kepada MARA.
“Selain itu, lepasan SPM juga boleh mohon pengajian bagi peringkat Sijil Matrikulasi yang diselaraskan Kementerian Pendidikan (KPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Institut Pendidikan Guru (IPG) bagi calon yang berminat untuk menyambung program pendidikan dan Institut Pendidikan Latihan Awam (ILKA),” katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai program pengajian di universiti awam yang kurang mendapat tempat dalam kalangan pelajar lepasan SPM, Mohd Najib berkata, KPT giat menjalankan pelbagai inisiatif, khususnya melalui hebahan, penjelasan dan promosi secara berterusan.
“KPT giat lakukan melalui promosi serta pendedahan awal berkaitan program pengajian yang ditawarkan oleh setiap IPTA.
“Pihak KPT turut menjalankan hebahan melalui media sosial, sekolah dan pameran pendidikan, selain memberikan penjelasan laluan kerjaya sebenar kepada pelajar dan ibu bapa,” katanya.-BH Online
