Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Penggunaan teknologi tinggi dalam badan kehakiman hanya perlu sebagai ‘peranti’ kepada keadilan dan bukannya pengganti, kerana teras asas membabitkan budi bicara kehakiman, keadilan dan kebebasan perlu dikekalkan.

Ketua Hakim Negara, Datuk Seri Wan Ahmad Farid Wan Salleh, berkata teknologi boleh membantu, tetapi tidak boleh menggantikan manusia kerana ketidakupayaannya menimbang belas ihsan atau mempunyai nurani, selain tidak dapat memahami sepenuhnya kisah manusia di sebalik setiap kes.

Beliau melahirkan kebimbangan khususnya peguam muda yang terlalu cenderung bergantung kepada teknologi kerana ia boleh menjejaskan keupayaan berfikir secara mendalam, berkomunikasi dengan jelas dan berhujah secara bermakna yang menjadi kemahiran asas dalam keadilan.

“Oleh itu, menjelang 2030, kita boleh gunakan teknologi, tetapi jangan biarkan ia menguasai kita. Latih minda, hafal, kira dan perhatikan dunia di sekeliling kita.

“Dalam badan kehakiman, ini amat penting. Teknologi mesti menjadi alat kepada keadilan, bukan pengganti. Budi bicara kehakiman, keadilan dan kebebasan mesti kekal sebagai teras,” katanya berucap pada majlis perasmian Persidangan Commonwealth Legal Education Association (CLEA) 2026, di Universiti Malaya (UM) di sini, hari ini.

CLEA 2026 yang diadakan di Hotel Shangri-La selama dua hari, dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Malaysia menjadi tuan rumah bagi CLEA 2026 yang berlangsung sehingga esok dengan menghimpunkan kira-kira 350 perwakilan dari seluruh negara Komanwel, termasuk hakim, pengamal undang-undang, ahli akademik, pembuat dasar dan pelajar undang-undang.

Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said; Hakim Prashant Kumar Misra yang mewakili Ketua Hakim Negara India, Surya Kant; Penaung CLEA, Tan Sri Nallini Pathmanathan; Pro-Canselor UM merangkap Perunding CLEA, Tan Sri Datuk Zainun Ali; Presiden CLEA, Prof Dr S Sivakumar dan Naib Canselor UM, Prof Datuk Seri Dr Noor Azuan Abu Osman.

Pada masa sama, Ahmad Farid berkata, menjelang 2030, profesion peguam dilihat sedang berubah, daripada sekadar mengetahui undang-undang kepada mengaplikasikannya dengan kemahiran, pertimbangan dan keanjalan.

Beliau berkata, teknologi sememangnya tidak boleh diabaikan kerana kecerdasan buatan (AI) dan sistem digital bukan lagi perkara masa depan, sebaliknya sudah menjadi sebahagian realiti kehidupan kini.

Katanya, teknologi memang memudahkan, tetapi ia juga dikhuatiri berisiko menjadikan manusia kurang menggunakan keupayaan mental.

“Teknologi menjadikan manusia lebih pantas, tetapi mungkin kurang manusiawi kerana menjadi manusia bermaksud belajar, melakukan kesilapan, berusaha dan mengingati. 

“Apabila kita menyerahkan proses berfikir kepada mesin, kita bukan sekadar menjimatkan masa, namun kita kehilangan sebahagian diri kita,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Farid berkata, pendidikan undang-undang tidak boleh terhenti selepas tamat pengajian, sebaliknya mesti berterusan sepanjang kerjaya.

Katanya, bagi seorang peguam, pengetahuan semata-mata tidak mencukupi, sebaliknya profesion itu perlu mampu berfikir, membuat pertimbangan, memahami etika dan memahami kewujudan undang-undang itu.-BH Online