KUALA LUMPUR: Sebarang keputusan mengenai pelaksanaan langkah intervensi susulan cuaca kering dan panas yang melanda negara ketika ini akan ditentukan selepas laporan ramalan cuaca dibentangkan kepada Jemaah Menteri, minggu depan.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup, berkata pelaksanaan kaedah seperti pembenihan awan di negeri terjejas akan bergantung kepada hasil perbincangan Jemaah Menteri sekiranya ramalan cuaca menunjukkan keperluan berkenaan.
“Minggu depan, saya bercadang membentangkan laporan ramalan cuaca berkaitan keadaan kering dan panas kepada Jemaah Menteri. Keputusan lanjut akan bergantung kepada perbincangan pada waktu itu.

“Sekiranya ramalan menunjukkan justifikasi perlunya intervensi seperti pembenihan awan. Kita akan memberi makluman dari semasa ke semasa,” katanya ketika ditemui media pada Majlis Sambutan 100 Tahun Institut Latihan Perhutanan (FORTRAIN) di Kepong, dekat sini hari ini.
Katanya, beliau sudah mengarahkan Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) untuk mempertingkat pemantauan dengan mengeluarkan laporan serta ramalan cuaca secara berterusan dan lebih kerap.
“Beberapa negeri di utara mengalami cuaca kering dan panas. Justeru, METMalaysia diarah sentiasa mengeluarkan laporan dan ramalan yang penting untuk bantu agensi lain termasuk Jabatan Alam Sekitar (JAS), Kementerian Kesihatan dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) buat persediaan lebih rapi,” katanya.
Arthur berkata, sekiranya keadaan memerlukan, maklumat ramalan boleh digunakan untuk mempertimbangkan pelaksanaan langkah intervensi seperti pembenihan awan bagi mengurangkan impak terhadap rakyat dan persekitaran akibat perubahan cuaca semasa.-BH Online
