KLEBANG, 4 APRIL – 34 projek sakit Perbadanan PR1MA Malaysia berjaya diselesaikan sepenuhnya setakat 31 Mac lalu.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, ia melibatkan 22 ribu 925 unit rumah di seluruh negara.
Katanya KPKT sebelum ini menyasarkan semua 34 projek sakit siap pada Mac 2026 termasuk serahan kunci kepada pembeli.
KPKT juga akan memastikan tiada lagi projek sakit atau terbengkalai menjelang 2030 menerusi pelbagai sistem yang akan dibangunkan sebagai usaha mengekang masalah projek sakit.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Penyerahan Kunci Residensi Klebang 2 dan Residensi Bukit Katil di Residensi Klebang 2, Klebang Melaka.
Nga berkata kejayaan itu merupakan detik bersejarah yang menandakan penutupan sepenuhnya isu projek sakit PR1MA yang berlarutan sebelum ini, terutama yang mengalami kelewatan akibat pandemik COVID-19.
“Kita bukan sahaja menyelesaikan masalah yang diwarisi, tetapi impak paling besar adalah membantu 22,925 orang pembeli, khususnya daripada golongan B40 dan M40 untuk akhirnya memiliki dan mendiami rumah idaman mereka sendiri.
“Untuk itu, bagi memastikan isu sama tidak berulang, kita menyasarkan menjelang 2030, tiada lagi projek sakit atau terbengkalai berlaku di negara ini memandangkan sasaran kerajaan adalah membangunkan lebih daripada 4,351 unit rumah PR1MA pada masa akan datang,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Nga berkata pemilikan rumah kekal sebagai asas penting kesejahteraan rakyat serta kestabilan ekonomi isi rumah.
Beliau berkata perumahan bukan sahaja keperluan asas, malah turut berfungsi sebagai instrumen pelaburan yang mampu menjana nilai aset jangka panjang.
Bagaimanapun, beliau mengakui sektor perumahan berdepan cabaran ketidaktentuan global termasuk peningkatan kos bahan binaan dan tekanan inflasi.
“Untuk itu, kita akan terus memantau rapi perkembangan projek serta pasaran bagi memastikan harga rumah kekal mampu milik di samping mengawal aktiviti spekulasi.
“Kerajaan MADANI kekal komited dalam menyediakan perumahan berkualiti secara holistik, merangkumi pembangunan komuniti yang mampan dan sejahtera,” katanya.-Berita RTM
