KUALA LUMPUR: Kerajaan menggesa orang ramai supaya mengamalkan gaya hidup yang lebih berhemah dan sederhana dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi global, kata Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
Beliau berkata, ini termasuk bersikap sederhana dalam merancang perjalanan, mengurus perbelanjaan, serta menggunakan elektrik dengan lebih cekap di rumah dan di pejabat.
Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Ketiga Jawatankuasa Khas Mengenai Keselamatan Tenaga dan Impak Konflik Asia Barat, yang membincangkan dapatan mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN).
“Konflik di Asia Barat terus memuncak dan tidak menunjukkan tanda-tanda akan reda dalam masa terdekat, sekali gus memberi tekanan serta implikasi besar terhadap tenaga, rantaian bekalan dan ekonomi global,” katanya dalam satu hantaran di laman media sosial rasminya.
Amir Hamzah berkata, usaha kerajaan turut mengambil kira kesejahteraan rakyat serta kelestarian perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta industri.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, turut berkata bahawa kerajaan MADANI akan terus bertindak secara proaktif berdasarkan data dan realiti semasa, termasuk mendapatkan pandangan daripada pemain industri dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam menangani krisis tenaga global.
Beliau berkata, langkah ini bagi memastikan setiap tindakan yang diambil adalah menyeluruh, seimbang dan berkesan.-BERNAMA
