PUTRAJAYA, 31 Mac– Kempen minum susu segar secara besar-besaran akan dilancarkan bagi memperkukuh pengeluaran susu tempatan sehingga mencapai Tahap Sara Diri (SSR) sepenuhnya dalam tempoh terdekat.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, inisiatif itu bertujuan meningkatkan permintaan terhadap susu tempatan serta merangsang pertumbuhan industri tenusu negara.
Menurut beliau, kempen berkenaan turut memberi tumpuan kepada peningkatan pemakanan rakyat.
Fokus khusus diberikan kepada kanak-kanak yang masih ketinggalan dari segi perkembangan fizikal.
“Pengambilan susu segar penting dalam menyokong tumbesaran kanak-kanak yang lebih sihat.
Dalam masa sama, ia membantu merangsang permintaan dan pengeluaran susu tempatan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas pelancaran Program Pemerkasaan Industri Ruminan Negara di sini, hari ini.
Tambahnya, sebelum ini kempen seumpama itu tidak dilaksanakan secara meluas berikutan kekangan bekalan susu tempatan.
Namun, peningkatan kapasiti pengeluaran kini membolehkan usaha tersebut dipergiatkan.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata subsektor ruminan serta padi dan beras masih memerlukan perhatian serius.
Tahap sara diri bagi subsektor berkenaan kini sekitar 53 peratus.
“Negara perlu membina keupayaan domestik sekurang-kurangnya sehingga 70 peratus bagi menghadapi sebarang krisis bekalan,” katanya.
Dalam masa sama, sektor perikanan menunjukkan perkembangan positif apabila mencapai tahap sara diri.
Kejayaan itu disokong pengukuhan aktiviti akuakultur ketika sektor perikanan laut berdepan cabaran.
Datuk Seri Mohamad turut menegaskan keperluan memperluas penanaman jagung bijian.
Langkah itu bagi mengurangkan kebergantungan kepada import makanan ternakan yang meningkatkan kos industri ruminan.
Program Pemerkasaan Industri Ruminan Negara dijangka menjadi pemacu utama dalam memperkukuh keterjaminan makanan negara.
Program itu menyasarkan 50 peratus SSR daging dan 100 peratus SSR susu segar menjelang 2030.
Pelaksanaannya melibatkan tiga inisiatif utama.
Ia merangkumi Program Pengganda30, Program Pengukuhan Pengeluaran Tenusu Negara dan Program Peningkatan Ruminan Kecil.-Berita RTM
