Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengajak seluruh rakyat untuk sama-sama memperkukuh ekonomi domestik ketika dunia termasuk Malaysia memasuki fasa lebih mencabar dan tidak menentu.

Untuk itu Perdana Menteri berkata rakyat perlu mengutamakan barangan tempatan serta menyokong usahawan tempatan, mengambil kira kekuatan dalaman menjadi benteng utama dalam mendepani krisis tenaga global susulan konflik di Asia Barat.

“Hakikatnya, dunia sedang memasuki fasa yang lebih mencabar dan tidak menentu, dan Malaysia tidak terkecuali daripada tempiasnya. 

“Justeru, kita tidak boleh alpa atau terlalu selesa. Kita mesti bersiap siaga dengan disiplin, kecekalan dan semangat kebersamaan yang tinggi,” katanya melalui muat naik di Facebok, hari ini.

Hantaran itu menyusul selepas beliau mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN), hari ini yang antara lain meneliti secara mendalam perkembangan krisis tenaga global yang kian meruncing serta implikasinya terhadap ekonomi negara dan kesejahteraan rakyat.

Sehingga kini, konflik membabitkan Amerika Syarikat (AS) dan Israel dengan Iran dilihat berterusan apabila jurucakap Kementerian Luar Iran menegaskan bahawa negara itu tidak mengadakan sebarang rundingan terus dengan AS setakat ini. 

AS dan Israel mula menyerang Iran sejak 28 Februari lalu. 

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata meskipun mengakui cabaran dihadapi, asas ekonomi negara kekal kukuh dan berdaya tahan.

Beliau menegaskan, kerajaan akan terus bertindak secara proaktif berlandaskan data dan realiti semasa, termasuk mendapatkan pandangan pihak industri serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS), agar setiap langkah yang diambil bersifat menyeluruh, berimbang dan berkesan.

“Insya-Allah, setiap keputusan akan terus berpaksikan tanggungjawab dan kepentingan rakyat. 

“Kerajaan akan berikhtiar memastikan kestabilan bekalan tenaga terpelihara, ekonomi terus berfungsi dengan baik, serta kebajikan rakyat kekal menjadi keutamaan dalam setiap tindakan,” katanya.-BH Online