KUALA LUMPUR: Malaysia terus memperkukuh peranannya sebagai hab pemikiran dan kerjasama dunia Islam apabila bakal menjadi tuan rumah persidangan antarabangsa yang menghimpunkan alim ulama serta pimpinan agama dari seluruh dunia pada Jun depan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan, berkata penganjuran persidangan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur itu adalah hasil kerjasama strategik antara Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan Liga Dunia Muslim (MWL).
Menerusi hantaran di Facebook, beliau berkata, perkara itu dicapai hasil perbincangan ketika beliau memenuhi undangan Setiausaha Agung MWL, Sheikh Dr Mohammed Abdulkarim Al-Issa, dalam rangka lawatan kerjanya yang meliputi Mekah, Jeddah dan Riyadh.
Beliau berkata, perbincangan bersama tokoh berpengaruh dunia Islam itu turut menjurus kepada pertukaran idea, mencari solusi dan masa depan Islam daripada perspektif serantau hingga global.
“Perjalanan ini bukan sekadar jarak – tetapi membawa misi menyatukan ummah serta membuka ruang ukhuwah dan kerjasama global JPM (Hal Ehwal Agama) bersama organisasi besar tersebut,” menurut hantaran itu.
Zulkifli berkata, umat Islam perlu mengambil peluang itu untuk membina masyarakat berilmu, memperkukuh ukhuwah serta bersedia menjadi sebahagian daripada perubahan ummah.
“Dari sini kita bermula dan kita mesti berjuang melaksanakan islah sedaya upaya kita. Dunia sedang melihat, dan masa depan Islam juga ada pada kita,” katanya.
Beliau berkata, Mohammed Abdulkarim turut menzahirkan kekaguman terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang disifatkan sebagai intelektual dan tokoh pemikir Islam yang hebat.-BH Online
