PUTRAJAYA: Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) komited memperkukuh sekuriti air negara melalui pemerkasaan teknologi serta inovasi berasaskan saintifik, selaras Agenda Transformasi Sektor Air 2040 (AIR2040) menerusi Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13).
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata pendekatan berasaskan penyelidikan dan pembuktian saintifik menjadi teras dalam memastikan pengurusan sumber air negara lebih mampan, berdaya tahan serta mampu menangani cabaran perubahan iklim dan peningkatan permintaan air.
Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, berkata antara langkah strategik dilaksanakan ialah penubuhan Pasukan Forensik Banjir Malaysia (FORBiM) menerusi Institut Penyelidikan Air Kebangsaan Malaysia (NAHRIM) sejak akhir tahun lalu bagi menjalankan siasatan forensik berasaskan data dan bukti saintifik bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian banjir serta menilai keupayaan infrastruktur sedia ada.
“Sebagai permulaan, pasukan FORBiM Kuala Lumpur sedang menjalankan forensik berasaskan data dan bukti saintifik bagi menyiasat punca sebenar kejadian banjir, menilai keupayaan infrastruktur sedia ada, seterusnya membolehkan strategi tebatan banjir lebih inovatif termasuk aspek pemantauan dan penyelenggaraan yang lebih efisien,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.
Selain itu, Fadillah berkata, pengurusan banjir turut diperkukuh melalui penggunaan teknologi simpanan air lebihan seperti takungan dasar sungai, pendekatan berasaskan semula jadi dan kolam takungan pelbagai fungsi.
“Beberapa produk tempatan juga sedang dibangunkan bagi mengurangkan impak banjir kepada komuniti seperti ‘PETRAN (PETRA-NAHRIM) Tembok Penahan Banjir Automatik’, dan ‘PETRAN Dinding Tebatan Banjir Mudah Alih’,” katanya.
Dalam usaha memastikan ketahanan bekalan air jangka panjang, Fadillah berkata, PETRA dan NAHRIM turut meneroka sumber air alternatif termasuk menaik taraf kolam takungan pelbagai fungsi, pemetaan sumber air tanah serta pembangunan teknologi penyahgaraman air laut khususnya untuk kegunaan komuniti di pulau terpencil dan kawasan terpinggir.
Beliau berkata, penyelidikan turut dilaksanakan melalui Projek PETRAN-SIDS di lembangan Sungai Melaka, Pulau Langkawi yang menggabungkan aspek bekalan air, tebatan banjir dan pembangunan ekopelancongan sebagai model pengurusan sumber air bersepadu.
“Pada masa ini, produk minuman air hujan terawat berbungkus NAHRIM iaitu PETRAN RAINDROPS dan CLOUDRAIN sudah bersedia ke pasaran melalui pengkomersialan,” katanya.
Fadillah berkata, NAHRIM memperkukuh pemantauan kualiti air melalui penggunaan teknologi termaju termasuk kecerdasan buatan (AI) dan data raya bagi membolehkan pengesanan pencemaran dilakukan secara masa nyata.
Beliau berkata, sistem Kecerdasan Buatan Ranking Penilaian Sungai bagi Keselamatan, Kesesuaian dan Kemampanan (AIR3S) yang dibangunkan secara tempatan membolehkan tindakan penguatkuasaan dan mitigasi diambil lebih pantas sebelum pencemaran menjadi kritikal, sekali gus meningkatkan perlindungan sumber air negara.
“Selain itu, beberapa produk turut dibangunkan PETRA dan NAHRIM termasuk ‘PETRAN Peranti Kualiti Air’, ‘PETRAN Penanda Rizab Air’, ‘PETRAN Produk Kawalan Sedimentasi Sungai Semulajadi’ dan ‘PETRAN Produk Perlindungan Tebing dan Dasar Sungai’,” katanya.
Fadillah berkata, NAHRIM turut melaksanakan penyelidikan forensik pantai bagi menilai keberkesanan sistem perlindungan terhadap hakisan pantai dan limpahan air laut, selain membangunkan inovasi tempatan bagi memperkukuh struktur perlindungan pesisir dan kestabilan garis pantai.
“Melalui Makmal Hidraulik dan Instrumentasi (MHI) NAHRIM, aplikasi pemodelan fizikal dapat memberikan cadangan penyelesaian berdasarkan verifikasi dan reka bentuk yang optimum sebelum pembinaan sebenar bagi menjamin keselamatan struktur dan keberkesanan kos projek,” katanya.
Seiring usaha memperkukuh ekosistem pengurusan air negara, beliau berkata, PETRA mewujudkan Hab Air Kebangsaan yang akan mengintegrasikan penyelidikan, inovasi dan pembangunan sumber air bagi menjadikan Malaysia hab air serantau menjelang 2040.
“Dengan komitmen penuh NAHRIM sebagai agensi pelaksana, kerjasama ini menggabungkan kepakaran teknikal dan infrastruktur penyelidikan untuk mengatasi cabaran pengurusan air di Malaysia,” katanya.
Fadillah berkata, melalui komitmen bersama itu, PETRA dan NAHRIM membuktikan dedikasi dalam menjadikan Malaysia sebagai pusat kecemerlangan dalam pengurusan dan penyelidikan sumber air serantau. – BERNAMA
