BUKIT MERTAJAM, 29 Mac – Hampir RM2 bilion pembiayaan diluluskan oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) yang memberi manfaat kepada 88,150 perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di seluruh negara.
Menterinya, Steven Sim Chee Keong berkata, pembiayaan itu merangkumi modal kerja, pembangunan aset serta peluasan operasi perniagaan.
“Inisiatif ini bukan sahaja membantu perniagaan untuk terus bertahan, tetapi juga berkembang. Dalam krisis sentiasa ada peluang.
“Melalui PowerUp 10k, kita turut memperuntukkan sekurang-kurangnya RM100 juta bagi pembangunan kapasiti usahawan melibatkan kira-kira 100,000 usahawan tempatan,” katanya.
Tambah beliau, usaha tersebut bertujuan meningkatkan keupayaan usahawan dalam menghadapi cabaran termasuk dari segi teknologi dan persaingan pasaran.
Beliau berkata demikian pada Majlis Balik Rumah One Hope Charity di Holiday Inn & Suites Penang, di sini.-Berita RTM
