KUALA LUMPUR: Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) memberi jaminan bekalan baja padi negara kekal mencukupi buat masa ini walaupun berlaku ketidaktentuan geopolitik di Asia Barat dan penutupan Selat Hormuz.
NAFAS berkata, pihaknya melalui Malaysian NPK Fertilizer Sdn Bhd (MNFSB) mempunyai stok bahan mentah mencukupi untuk pengeluaran baja sebatian sehingga Ogos depan bagi pelaksanaan Skim Baja Padi Kerajaan Persekutuan (SBPKP), Skim Insentif Pengeluaran Padi (SIPP), Skim Subsidi Baja dan Racun Padi Bukit/Huma (SBRPB) membabitkan lebih 200,000 pesawah.
“Bekalan ini disokong sumber yang pelbagai, termasuk urea daripada sumber tempatan, manakala bahan mentah fosfat diimport dari China, India, Australia dan Maghribi serta potassium dari Kanada dan Russia.
“Kepelbagaian sumber bekalan ini membolehkan rantaian bekalan kekal stabil dan berdaya tahan, sekali gus mengurangkan impak terhadap pengeluaran baja walaupun berdepan ketidaktentuan global,” katanya dalam kenyataan kepada Harian Metro.
“Negara pengeluar utama seperti Oman, Qatar, Arab Saudi dan Iran, selain China, Russia, Australia dan India menguasai sebahagian besar pengeluaran bahan mentah baja dunia.
“Kesan ini turut dirasai pada peringkat global dengan kenaikan harga bahan mentah diunjurkan 40 peratus atau lebih susulan konflik yang berlaku.
“Berdasarkan pemantauan dan penilaian semasa oleh NAFAS, kos bahan mentah menunjukkan trend peningkatan yang ketara susulan ketidaktentuan geopolitik dan gangguan rantaian bekalan global,” katanya.
NAFAS berkata, peningkatan kos bahan api dan caj insurans perkapalan yang dikenakan syarikat perkapalan meningkatkan kos jualan secara keseluruhan.
“Pada masa sama, sekatan eksport oleh negara pengeluar bahan mentah turut menyukarkan pembelian bahan mentah itu.
“Keadaan ini seterusnya menjejaskan kelancaran bekalan bahan mentah dan keupayaan penyediaan baja bagi program subsidi serta pasaran terbuka,” katanya.
Sehubungan itu, katanya, sokongan intervensi kerajaan adalah penting bagi membolehkan rundingan strategik dilaksanakan pada peringkat antarabangsa demi memastikan kelangsungan pembekalan baja ke negara ini.
“Sebagai langkah jangka panjang, NAFAS juga sedang meneroka kerjasama strategik bersama pengeluar bahan mentah global termasuk potensi pembangunan kemudahan pengeluaran dalam negara bagi memperkukuh jaminan bekalan dan kelestarian industri baja negara,” katanya.-BH Online
