KUALA LUMPUR: Lebih banyak kamera litar tertutup (CCTV) akan dipasang di kawasan sekitar Persiaran Menara Berkembar Petronas (KLCC), Jalan Ampang di sini, dalam masa terdekat, bagi memerangi sindiket jurugambar tidak berlesen atau ‘ulat foto’.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh, berkata pihaknya akan mengadakan perbincangan lanjut dengan KLCC Property Holdings Berhad serta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi menambah bilangan CCTV di kawasan yang menjadi tumpuan pelancong tempatan dan asing itu.
“CCTV adalah bawah pengurusan KLCC. Saya akan berbincang dengan mereka bersama DBKL untuk melihat bagaimana kita boleh memasang lebih banyak CCTV di luar supaya dapat mengenal pasti muka-muka yang melakukan kegiatan perniagaan seperti ini tanpa kebenaran,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.
Beliau mengulas isu 18 jurugambar tidak berlesen disyaki menyerang seorang lelaki yang cuba meleraikan pergaduhan antara kumpulan itu dengan seorang pelancong asing di Persiaran KLCC, Ahad lalu.
Hannah berkata, beliau juga mahu anggota polis dan pegawai penguat kuasa DBKL melakukan rondaan lebih kerap bagi membendung isu itu daripada terus berlarutan.
“Kita tidak mahu melihat pelancong dan rakyat Malaysia dibuli kerana ia juga memburukkan nama negara.
“Pergaduhan seperti itu tidak sepatutnya berlaku, dan siasatan sedang dijalankan oleh pihak polis. Saya meminta polis mengambil tindakan,” katanya.
Semalam, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sazalee Adam, dipetik berkata 18 jurugambar tidak berlesen dalam lingkungan usia 17 hingga 45 tahun ditahan di pekarangan KLCC untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan.
Sementara itu dalam perkembangan lain, Hannah berkata, DBKL telah membuat laporan polis berhubung isu ahli Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan (MPPWP) didakwa meminta wangdaripada sebuah pusat urut, dipercayai di Wangsa Maju.
“Tiada sebab ahli MPPWP perlu turun ke lapangan kerana itu adalah bidang kuasa DBKL.
“(Peranan) MPPWP adalah mendengar aduan dan membawa aduan itu kepada DBKL. Mereka bukan penguat kuasa. Itu adalah jelas,” katanya yang juga Ahli Parlimen Segambut.
Baru-baru ini, tular rakaman CCTV sebuah pusat urut memaparkan kehadiran dua lelaki memperkenalkan diri dengan mendakwa sebagai ahli MPPWP, sebelum meminta wang untuk mengelak premis itu ditutup atas alasan kononnya terdapat aduan daripada penduduk.-BH Online
