Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Malaysia dan Indonesia sepakat untuk mempergiat usaha diplomasi bagi meredakan konflik di Asia Barat, selain melindungi nyawa orang awam dan membuka rundingan ke arah penyelesaian konflik.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata perkara itu dibincangkan dalam pertemuan beliau dengan Presiden Indonesia, Prabowo Subianto, sempena lawatan khas beliau ke negara itu hari ini.

Beliau berkata, kedua-dua negara juga akan bersama-sama melindungi nyawa orang awam serta membuka ruang rundingan ke arah penyelesaian yang aman dan berkekalan.

Katanya, kelangsungan rantaian bekalan global serta laluan perdagangan strategik, termasuk Selat Hormuz, mesti dipastikan tidak terjejas.

“Saya turut maklumkan interaksi dengan rakan-rakan pimpinan antarabangsa sebagai usaha menyatakan solidariti, menyelaras pandangan selain meneliti dampak global, khususnya dalam aspek tenaga dan keselamatan serantau.

“Malaysia kekal dengan pendirian tegas, menolak keganasan, menjunjung undang-undang antarabangsa dan menggesa semua pihak kembali kepada jalan damai,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Anwar berkata, pertemuan penuh makna bersama Prabowo hari ini juga membuka ruang konstruktif dalam mencari titik persamaan mendepani konflik Asia Barat yang kini menekan keselamatan tenaga serta kestabilan ekonomi dunia.

“Dalam ketidaktentuan global yang kian meruncing, Malaysia dan Indonesia menegaskan keperluan memperkukuh kesepaduan serantau yang berprinsip bagi memelihara keamanan, menjamin kestabilan serta memperkukuh daya tahan ekonomi demi kesejahteraan rakyat,” katanya.-BH Online