Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Pekerja sektor swasta boleh memohon Aturan Kerja Fleksibel (AKF) meliputi aspek waktu bekerja, hari bekerja serta bekerja dari rumah (BDR), sebagaimana diperuntukkan dalam Seksyen 60P dan 60Q Akta Kerja 1955 (Akta 265).

Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dalam satu kenyataan, hari ini, berkata mereka boleh membuat permohonan bekerja secara fleksibel itu kepada majikan masing-masing.

Katanya, ia susulan saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menggalakkan sektor swasta melaksanakan peraturan kerja lebih anjal, termasuk BDR, sebagai langkah menghadapi cabaran krisis tenaga global dan ketidaktentuan ekonomi dunia semasa.

Justeru, menurutnya, pelaksanaan AKF dilihat sebagai satu pendekatan strategik yang mampu membantu organisasi menyesuaikan operasi secara lebih cekap tanpa menjejaskan produktiviti.

“Peruntukan baharu ini membolehkan pekerja membuat permohonan kepada majikan untuk bekerja secara fleksibel sama ada dari segi waktu bekerja, hari bekerja atau tempat bekerja (BDR).

“Bagi menjamin kebajikan pekerja, majikan yang melaksanakan AKF tidak boleh mengurangkan faedah telah diperuntukkan bawah akta ini seperti bayaran kerja lebih masa, bayaran kerja pada hari rehat, bayaran kerja pada cuti am, dan pemberian cuti rehat, cuti tahunan, hari kelepasan am serta cuti sakit,” katanya.

Dalam keadaan peningkatan kos tenaga akibat konflik di Asia Barat dan kebergantungan pada pergerakan harian pekerja, menurut kenyataan itu, KESUMA berpandangan pelaksanaan AKF memberi manfaat menyeluruh kepada majikan serta pekerja.

Menurutnya, ia termasuk mengoptimumkan penggunaan sumber serta menyokong kesejahteraan pekerja melalui keseimbangan kerja dan kehidupan yang lebih baik.

Sehubungan itu, majikan sektor swasta digalakkan menilai kesesuaian pelaksanaan AKF di organisasi masing-masing berdasarkan keperluan operasi, termasuk melalui pendekatan BDR, waktu kerja anjal, penggiliran kerja atau model hibrid.

Katanya, majikan diminta mempertimbangkan pelaksanaan AKF yang diperkenalkan bawah pindaan Akta 265 yang berkuat kuasa 1 Januari 2023.

Malah, menurutnya, KESUMA melalui Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) dan Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) telah menyediakan pelbagai sokongan kepada majikan, termasuk khidmat nasihat pembangunan dasar AKF, latihan serta perkongsian amalan terbaik, bagi memastikan pelaksanaan yang berkesan dan tersusun.

Selain itu bagi memudahkan majikan melaksanakan AKF, JTKSM telah menerbitkan Garis Panduan Pelaksanaan AKF pada 2024 yang boleh dimuat turun daripada pautan https://www.mohr.gov.my/images/pdf/Garis%20Panduan%20AKF%202024.pdf.

Majikan juga boleh mendapatkan maklumat lanjut dan menyertai inisiatif berkaitan AKF dengan menghubungi TalentCorp melalui e-mel: flexworklife@talentcorp.com.my atau melayari: www.flexworklife.my.

“KESUMA menyeru semua majikan sektor swasta mengambil langkah proaktif dalam mengadaptasi AKF sebagai strategi penting bagi memperkukuh daya tahan organisasi, mengurangkan impak krisis tenaga, serta memastikan kelangsungan pertumbuhan ekonomi negara dalam persekitaran global yang mencabar.

“Langkah itu termasuk menilai kesesuaian pelaksanaan AKF di organisasi masing-masing; melaksanakan pendekatan kerja fleksibel secara berperingkat mengikut keperluan operasi; serta memanfaatkan sokongan dan panduan disediakan JTKSM serta TalentCorp.

“KESUMA komited memastikan kesejahteraan pekerja dan kelangsungan perniagaan terus seiring dalam mendepani cabaran global,” katanya.-BH Online