Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUCHING: Malaysia tidak berada dalam kategori negara berisiko mengalami ‘bankrap air’ seperti dibimbangkan pada peringkat global kerana masih mempunyai sumber air mentah yang mencukupi. 

Bagaimanapun, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata cabaran sebenar perlu ditangani adalah dari sudut pengurusan sumber air secara bersepadu, perlindungan kawasan lembangan sungai dan kecekapan sistem penyampaian air negara. 

Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) berkata, Malaysia menerima purata lebih 2,500 milimeter hujan setahun dengan anggaran sumber air boleh diperbaharui melebihi 580 bilion meter padu setahun, sekali gus menunjukkan tidak berdepan kekurangan sumber air secara fizikal. 

“Cabaran utama negara bukanlah kekurangan air, tetapi bagaimana kita mengurus, melindungi dan mengoptimumkan sumber air secara strategik bagi menjamin sekuriti serta adaptasi dan kelestarian bekalan air jangka panjang,” katanya.

Harian Metro dalam laporan semalam menyarankan kerajaan melalui PETRA perlu merangka pelan strategik bagi mengatasi risiko situasi ‘kebankrapan air global’. 

Pakar kualiti air dan permodelan kualiti air, Dr Zaki Zainudin berkata, istilah bankrap air bukan sekadar merujuk kepada kekurangan sumber air semata-mata, sebaliknya turut membabitkan aspek kualiti air yang semakin terjejas akibat pencemaran. 

Media turut melaporkan Institut Air, Alam Sekitar dan Kesihatan Universiti Bangsa Bersatu (UNU-INWEH) memberi amaran dunia sedang memasuki era ‘kebankrapan air global’. 

Mengulas lanjut, Fadillah berkata, antara isu utama perlu diberi perhatian ialah pengurusan storan air secara pelbagai, pencerobohan kawasan tadahan, pencemaran sungai dan kekurangan integrasi antara pelbagai sumber air alternatif seperti air bawah tanah, takungan air secara dalam jajaran serta pinggiran sungai, air kitar semula, sistem penuaian air hujan dan desalinasi.

“Secara umumnya, simpanan aktif empangan mampu menampung bekalan air sehingga 90 hari atau tiga bulan.

“Pada masa sama, kadar Air Tidak Terhasil (NRW) nasional masih pada tahap sekitar 34.3 peratus, bersamaan kira-kira 6,000 juta liter sehari air terawat yang hilang,” katanya.

Fadillah berkata, kehilangan air terawat itu dianggarkan mencecah hampir RM2 bilion setahun dari segi potensi hasil. 

“Jika kadar NRW dapat dikurangkan kepada 25 peratus saja, negara boleh menjimatkan kira-kira 2,000 juta liter sehari air tambahan tanpa perlu membina loji rawatan air baharu.

“Permintaan air negara pula dijangka terus meningkat daripada kira-kira 19,372 juta liter sehari pada 2025 kepada lebih 25,000 juta liter sehari menjelang 2030 berdasarkan kapasiti reka bentuk loji rawatan air, sekali gus memerlukan perancangan sumber baharu secara lebih strategik,” katanya.

Malaysia mempunyai 2,986 lembangan sungai dan sekitar 30 peratus lembangan sungai utama negara dikenal pasti berdepan tekanan pencemaran sederhana hingga serius akibat pelepasan industri serta aktiviti guna tanah tidak terkawal, yang boleh menjejaskan operasi loji rawatan air.

Beliau berkata, ketika ini kadar tarif air sedia ada bagi sesetengah operator air hanya mencukupi untuk menampung kos semasa. 

Sehubungan itu, katanya, ada keperluan untuk mempercepat pelaksanaan pendekatan Pengurusan Sumber Air Bersepadu (IWRM) di semua lembangan sungai utama negara dan memperkukuh strategi storan air.

“Ia boleh dilakukan melalui pembinaan takungan air dalam jajaran dan pinggiran sungai, peningkatan kapasiti serta fungsi empangan, pemetaan pintar sumber air bawah tanah secara sistematik dan pemerkasaan elemen penyelidikan dalam menerokai teknologi ampuh serta berdaya saing dalam pengurusan sumber air.

“Penggunaan teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI) juga perlu dipertingkatkan melalui pembangunan hab digital sektor air peringkat kebangsaan yang akan diluncurkan dalam masa terdekat pada tahun ini dan peringkat serantau menjelang 2040.

“Selain itu, pendekatan baharu pembiayaan sektor air termasuk kerjasama awam-swasta dan pembiayaan berasaskan prestasi perlu diperluaskan bagi mempercepat pelaksanaan projek pengurangan NRW serta pembangunan sumber air alternatif,” katanya.

Fadillah berkata, program komunikasi awam secara berterusan juga perlu bagi meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap nilai air, berikutan penggunaan domestik rakyat Malaysia masih sekitar 225 liter seorang sehari berbanding sasaran mampan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) iaitu 165 liter.

“Malaysia bukan negara akan bankrap air, namun tanpa transformasi pengurusan sumber air secara menyeluruh dan bersepadu, tekanan bekalan boleh berlaku di beberapa kawasan menjelang 2030.

“Selaras aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan kepada kemampanan sumber dan kesejahteraan rakyat, pelaksanaan strategi di bawah kerangka AIR 2040, Malaysia bukan saja mampu menjamin keselamatan air negara, malah berpotensi muncul hab kecemerlangan sektor air serantau menjelang 2040,” katanya.-BH Online