PUTRAJAYA: Bekalan ubat-ubatan negara masih stabil dan terkawal susulan konflik yang berlaku di Asia Barat ketika ini, kata Kementerian Kesihatan (KKM) dalam satu kenyataan hari ini.
Berdasarkan kepada penilaian semasa, kesan konflik yang berlaku ketika ini untuk jangka masa pendek adalah minimum dengan paras stok ubat fasiliti KKM disimpan antara satu hingga tiga bulan berdasarkan kepada keperluan penggunaan.
Selain itu, ia juga disokong oleh stok penimbal tambahan sehingga dua bulan di peringkat syarikat konsesi bagi ubat-ubatan yang dibekalkan melalui konsesi logistik.
“Secara keseluruhannya, pemantauan bekalan ubat dalam negara juga dilaksanakan secara berterusan melalui mekanisme sedia ada. Ia termasuk sistem pelaporan gangguan bekalan oleh Pemegang Pendaftaran Produk (PRH) yang dikendalikan oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA).
“Sehingga 22 Mac 2026, tiada peningkatan trend dalam pelaporan PRH melibatkan gangguan bekalan ubat-ubatan dikesan,” kata kenyataan berkenaan.
Media hari ini melaporkan, ekonomi global kini berada bawah ‘ancaman besar’ akibat krisis tenaga yang berpunca daripada perang di Asia Barat dan ‘tiada negara akan terkecuali’ daripada kesannya.
Ketua Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA), Fatih Birol, ketika bercakap di National Press Club di Canberra, Australia, dilaporkan berkata beliau membandingkan krisis tenaga semasa dengan krisis pada era 1970-an serta kesan pencerobohan Russia ke atas Ukraine pada tahun 2022.
Pasaran saham menjunam hari ini manakala harga minyak meningkat selepas Presiden Amerika Syarikat, Donald J Trump dan pemimpin Iran bertukar ancaman mengenai Selat Hormuz, manakala Israel menyatakan perang di Asia Barat mungkin berlanjutan beberapa minggu lagi.
Pada masa sama, KKM berkata, pihak industri farmaseutikal tempatan memaklumkan bahawa pengilang tempatan mempunyai stok bahan mentah sehingga tiga bulan dan produk siap sekitar dua bulan.
Katanya, pihak pengimport turut melaksanakan pemantauan rapi terhadap rantaian bekalan masing-masing.
“KKM akan terus memantau dengan teliti perkembangan konflik di Asia Barat,” katanya.
KKM turut menyatakan komitmennya mengambil langkah-langkah proaktif bagi menangani kesan konflik Asia Barat.
Ia termasuk penubuhan pasukan petugas yang terdiri daripada pihak industri farmaseutikal dan pemegang taruh berkaitan untuk tujuan pemantauan serta memastikan keterjaminan bekalan ubat terutama membabitkan ubat-ubatan bawah Senarai Ubat Penting Kebangsaan (NEML) di Malaysia.-BH Online
