KUALA LUMPUR, 22 Mac – Bakal jemaah haji kini boleh membuat persiapan rapi tanpa tekanan kewangan susulan keputusan kerajaan mengekalkan kos menunaikan haji pada kadar RM33,300 bagi musim 1447 Hijrah/2026 Masihi.
Keputusan itu turut disambut baik masyarakat di Perlis, Labuan dan Melaka.
Di PERLIS, rata-rata bakal jemaah haji melahirkan rasa syukur susulan pengekalan kos berkenaan walaupun berdepan peningkatan harga global, termasuk kesan konflik di Asia Barat.
Pengerusi Pusat Kecemerlangan Pendidikan Faizuddin (FCoEE), Profesor Emeritus Datuk Dr Kamaruddin Hussin berkata pengekalan kos itu membuktikan keprihatinan kerajaan dan Lembaga Tabung Haji dalam memastikan rakyat dapat menunaikan ibadah haji.
“Tahun ini insya-Allah haji akan dilaksanakan seperti biasa dan harga RM33,300 masih kekal walaupun harga minyak meningkat… dengan ihsan Tabung Haji dan negara kita, kos itu dapat dikekalkan,” katanya.
Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kangar, Affendi Rajini Kanth turut menyifatkan keputusan itu sebagai berita baik kepada jemaah.
“Kita bersyukur kerana kosnya dikekalkan… dalam keadaan harga meningkat ketika ini, usaha kerajaan dan Tabung Haji mengekalkan kos adalah sesuatu yang amat dihargai,” katanya.
Sementara itu di LABUAN, tinjauan mendapati masyarakat setempat menyambut baik keputusan berkenaan kerana memberi ruang kepada bakal jemaah membuat persiapan tanpa tekanan kos.
Seorang penduduk, Danwil Tamid berkata langkah itu mencerminkan keprihatinan terhadap kebajikan jemaah.
“Terima kasih kepada Tabung Haji atas keprihatinan ini demi menjaga kebajikan jemaah yang akan menunaikan ibadah pada tahun ini,” katanya.
Seorang lagi warga Labuan, Md Khairul Azad Yunus berpandangan pengekalan kos itu hasil kecekapan pengurusan Tabung Haji serta dasar kerajaan.
“Tabung Haji masih mampu kekalkan kos haji… ini menunjukkan kecekapan dalam mengurus kewangan dan perjanjian dengan pihak berkepentingan,” katanya.
Di MELAKA, individu yang sedang menunggu giliran menunaikan haji turut meluahkan rasa syukur kerana pengekalan kos tidak menjejaskan simpanan bulanan mereka.
Seorang jurutera, Jabal Zamri berkata keputusan itu memberi peluang kepada beliau menunaikan haji seperti dirancang.
“Saya bersyukur sangat dengan pengekalan kos haji ini sebab saya berpeluang menunaikan haji dengan kos yang sedia ada,” katanya.
Bagi Amirul Leman yang bekerja sendiri, pengekalan kos itu mengurangkan keperluan menambah simpanan tambahan.
“Alhamdulillah… walaupun konflik di Asia Barat, kos haji masih kekal dan ini sangat membantu kami,” katanya.
Sebelum ini, Lembaga Tabung Haji mengumumkan kos menunaikan haji bagi tahun ini dikekalkan pada kadar RM33,300.
Penerbangan pertama jemaah dijadual bermula 18 April ini.-Berita RTM
