KUALA LUMPUR, 22 Mac– Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil menzahirkan penghargaan tertinggi kepada seluruh seniman dan penggiat industri kreatif tanah air sempena sambutan Hari Seniman Negara yang disambut hari ini.
Bertemakan “Syawal Seni, Jiwa MADANI,” sambutan tahun ini mengangkat peranan besar para penggiat seni dalam memperkaya identiti bangsa serta menjadi medium penyatuan masyarakat menerusi karya-karya mereka yang luar biasa.
Menurut hantaran Datuk Fahmi di Facebook, beliau menegaskan bahawa Kerajaan MADANI sentiasa komited untuk memastikan industri kreatif terus subur dan mampan.
“Kerajaan MADANI komited memperkasa industri kreatif melalui empat dasar utama iaitu Dasar Industri Kreatif Negara, Dasar Filem Negara, Dasar Penyiaran Negara dan Dasar Muzik Negara,” kata kenyataan itu.
Langkah strategik berkenaan diambil bagi memastikan ekosistem seni tempatan bukan sahaja maju dan mampan, malah mampu berdaya saing di peringkat global.
Beliau turut berharap agar segala inisiatif yang dirangka kerajaan dapat memberi impak positif kepada kebajikan penggiat seni serta kualiti penghasilan karya kreatif negara.
“Semoga industri ini terus maju, mampan dan berdaya saing. Terima kasih, teruskan berkarya untuk Malaysia,” ujarnya.-Berita RTM
