Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

TEMERLOH: Kira-kira 20,000 tetamu hadir memeriahkan Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail di Dewan Sri Lanchang, di sini, hari ini.

Berkenan berangkat ke majlis berkenaan Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, serta paduka anakanda termasuk Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.

Hadir sama, barisan pengerusi jawatankuasa kerajaan negeri Pahang. 

Wan Rosdy berkata, pihaknya merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terbabit dalam menjayakan majlis berkenaan termasuk Pejabat Daerah serta penyelaras program yang telah memastikan kelancaran perjalanan acara.

“Alhamdulillah, makanan yang disediakan mencukupi dan ini memang menjadi hasrat kita supaya semua pengunjung dapat bersama-sama meraikan Aidilfitri pada hari kedua Syawal,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Wan Rosdy berkata, penganjuran majlis rumah terbuka itu bukan sahaja memberi peluang kepada masyarakat menikmati juadah hari raya, malah menjadi platform untuk mengeratkan silaturahim dalam kalangan rakyat.

Beliau berkata, majlis seumpama itu juga membolehkan orang ramai bertemu dan bermaaf-maafan secara serentak memandangkan tidak semua berkesempatan untuk berkunjung dari rumah ke rumah.

“Saya berharap semangat silaturahim yang wujud pada bulan Syawal ini akan terus diperkukuh dalam kehidupan seharian,” katanya. – BERNAMA