KUALA LUMPUR: Sebarang anasir yang mengancam perpaduan rakyat mesti dibanteras tanpa tolak ansur, titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.
Dalam Perutusan Aidilftiri 2026 yang dikongsi menerusi Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar hari ini, Seri Paduka Baginda bertitah mengulangi nasihat itu yang pernah diberikan dalam perutusan tahun lalu, yang nampaknya sudah dilupakan oleh orang ramai atau dibuat tidak endah.
“Ia bukan sekadar tindakan undang-undang atau perbincangan antara pemimpin masyarakat ketika timbulnya guris hati dan amaran, tetapi juga dalam penerapan amalan peradaban seharian dalam kalangan rakyat, ia mesti dipupuk serta sentiasa diingatkan dari semasa ke semasa,” titah Sultan Ibrahim.
Seri Paduka Baginda bertitah mengingatkan rakyat Malaysia supaya jangan melupakan lima prinsip Rukun Negara yang juga menyatakan prinsip ‘Kesopanan dan Kesusilaan’.
“Di manakah kekurangan kita mendidik rakyat berkenaan perkara asas adab ini hingga ada yang begitu beracun dan kurang ajar sudut pandang serta kelakuannya hingga mencetuskan ketegangan dalam masyarakat?” titah Seri Paduka Baginda.
Sultan Ibrahim mengimbas beberapa kes, termasuk isu stokin bertulis kalimah ‘Allah’, bendera kebangsaan yang dinaikkan secara songsang, penghinaan terhadap al-Quran dan kelakuan tidak beradab di masjid.
Baginda turut menegur kata-kata dan tindakan melulu di media sosial yang bebas menimbulkan kebencian, kemarahan dan perpecahan.
“Kita tidak boleh menerima kelakuan biadab, sama ada antara komuniti berbeza atau dalam komuniti yang sama,” titah Seri Paduka Baginda.
Baginda berpendapat, majoriti rakyat Malaysia mengetahui cara untuk berkelakuan sopan dalam kehidupan seharian, dan suara majoriti ini mesti mengatasi serta menenggelamkan suara mereka yang kurang beradab.
Seri Paduka Baginda turut menegaskan bahawa rakyat Malaysia harus bersyukur dengan keamanan yang dinikmati negara ini sementara negara lain sedang bergolak akibat peperangan, sambil mengingatkan pepatah, ‘Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh.’
Selain itu, Sultan Ibrahim berkata, pengendalian isu sensitif oleh pihak berkuasa mesti dijalankan dengan berhati-hati dan mengambil kira semua aspek berkaitan, tanpa ruang untuk kesilapan.
“Tunjukkan bahawa setiap tindakan yang diambil adalah adil, tegas dan tepat supaya keyakinan terhadap pentadbiran negara tidak terhakis.
“Saya berharap nasihat ini tidak dilupakan dan tindakan sewajarnya akan diambil oleh semua pihak,” titah Seri Paduka Baginda.
Sempena sambutan Aidilfitri, Sultan Ibrahim menyeru umat Islam terus berdoa kepada Allah SWT supaya nasib umat Islam di seluruh dunia, khususnya yang ditindas di tengah-tengah keganasan, sentiasa dilindungi serta dikurniakan kemenangan dan keamanan sejagat.
Seri Paduka Baginda turut mengingatkan umat Islam tidak melupakan golongan kurang bernasib baik serta terus menghulurkan bantuan bagi meringankan beban mereka yang memerlukan.
“Semoga ibadah yang dilaksanakan sepanjang bulan Ramadan menjadikan kita semua sebagai umat yang lebih teguh dan taat kepada Allah SWT,” titah baginda.
Sultan Ibrahim dan Seri Paduka Baginda Raja Zarith Sofiah, Raja Permaisuri Agong, turut mendoakan rakyat dan negara dilindungi daripada sebarang bencana, serta dikurniakan kemakmuran, kesejahteraan dan perpaduan yang utuh.
Seri Paduka Baginda dan Raja Permaisuri turut mengingatkan orang ramai supaya berhati-hati di jalan raya serta mengamalkan kesederhanaan dalam pemakanan.-BH Online
