Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Daerah Padang Terap di Kedah merekodkan Tahap 2 (Gelombang Haba), setakat jam 4 petang ini, menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia).

METMalaysia dalam satu kenyataan, hari ini, memaklumkan bahawa 10 kawasan lain di Semenanjung pula berada pada Tahap 1 (Berjaga-jaga).

Kawasan terbabit ialah seluruh Perlis; Kubang Pasu, Pokok Sena, Sik, Pulau Langkawi, Kuala Muda, Pendang, Baling dan Bandar Baharu di Kedah; serta daerah Timur Laut di Pulau Pinang.

Menurut agensi itu lagi, Tahap Berjaga-jaga merujuk kepada suhu maksimum harian antara 35 hingga 37 darjah Celsius sekurang-kurangnya selama tiga hari berturut-turut.

Tahap Gelombang Haba pula membabitkan suhu maksimum harian antara 37 hingga 40 darjah Celsius bagi tempoh sama.

Orang ramai disaran merujuk laman sesawang rasmi METMalaysia untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai status cuaca panas harian.-BH Online