PUTRAJAYA: Orang ramai diminta menggunakan tenaga dan air secara cekap serta berhemat, khususnya sepanjang musim perayaan Aidilfitri yang lazimnya menyaksikan peningkatan penggunaan kedua-dua sumber itu.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, berkata ketika musim perayaan, kadar penggunaan tenaga elektrik di kediaman lazimnya dianggarkan meningkat kira-kira 20 hingga 40 peratus berbanding biasa.
“Langkah mudah penjimatan elektrik boleh diamalkan termasuklah mematikan lampu dan peralatan elektrik apabila tidak digunakan.
“Selain itu, mengelakkan peralatan berada dalam mod sedia; menetapkan suhu penyaman udara kira-kira 24 hingga 26 darjah Celsius; dan menggunakan peralatan elektrik yang ada penarafan kecekapan tenaga empat atau lima bintang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Seterusnya, kadar penggunaan air pula dijangka meningkat antara 30 hingga 35 peratus di kebanyakan negeri yang menjadi tumpuan perantau pulang beraya, dan pihak operator bekalan air telah bersiap siaga bagi memastikan permintaan dapat dipenuhi sebaik mungkin.
“Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) turut memastikan operator bersedia dengan pelan kontingensi jika timbul sebarang insiden luar jangka sepanjang musim perayaan,” katanya.
Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) melalui SPAN turut menyasarkan penggunaan air per kapita harian pada kadar maksimum 160 liter, sejajar sasaran antarabangsa.
Fadillah berkata, antara langkah penjimatan air disarankan ialah membaiki kebocoran paip dalaman dan memastikan pili ditutup rapat selepas digunakan.
Seterusnya, menggunakan sumber air alternatif seperti tadahan air hujan untuk aktiviti bukan teras seperti mencuci laman; mengamalkan disiplin penggunaan; dan membasuh pakaian hanya apabila muatan penuh.
Selain itu, penggunaan semula air tidak tercemar seperti air wuduk, manakala pemilihan produk berlabel cekap air dua atau tiga bintang juga mampu membantu menjimatkan hingga purata 50 peratus bil bulanan.
Dari aspek keselamatan elektrik, PETRA turut mengingatkan orang ramai supaya memastikan pendawaian rumah selamat serta menguji Peranti Arus Baki (PAB) dengan menekan butang uji ‘T’ sekurang-kurang sekali sebulan.
“Jika PAB berfungsi dengan baik, ia akan terpelantik dan bekalan elektrik akan terputus serta-merta.
“Namun, sekiranya ia tidak berfungsi dan perlu diganti, sila dapatkan perkhidmatan kontraktor elektrik yang berdaftar dengan Suruhanjaya Tenaga,” katanya.
Langkah lain termasuklah memastikan wayar tidak rosak, tidak membebankan soket elektrik, dan menggunakan peralatan yang mempunyai label keselamatan.
Selain itu, memastikan tangan kering ketika menggunakan peralatan elektrik, serta mengelakkan penggunaan telefon bimbit ketika sedang dicas.
Melalui amalan penggunaan tenaga dan air yang cekap, rakyat bukan saja dapat menyambut perayaan dengan lebih selamat, malah menyokong agenda negara dalam memastikan kelangsungan sumber tenaga dan air yang mampan, berdaya tahan serta mampu memenuhi keperluan pembangunan negara pada masa depan.-BH Online
