KUALA LUMPUR: Jemaah Menteri hari ini menyeru rakyat Malaysia agar menjadikan sambutan Aidilfitri sebagai wadah memperkukuh perpaduan, memupuk kasih sayang serta memperkasakan nilai kemanusiaan dalam masyarakat majmuk di negara ini.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata Aidilfitri bukan sekadar perayaan, tetapi juga simbol kemenangan rohani, keinsafan dan keutuhan ukhuwah yang menjadi asas kepada kekuatan masyarakat.
Beliau berkata dalam era yang dipacu kemajuan teknologi dan kecerdasan buatan (AI), nilai kemanusiaan harus tetap menjadi keutamaan bagi memastikan keharmonian terus terpelihara.
“Teknologi harus dimanfaatkan untuk memperkukuh ukhuwah dan menyebar nilai kasih sayang, bukan sebagai pemisah yang menjauhkan kita.
“Sebagai rakyat Malaysia yang hidup dalam sebuah negara majmuk, marilah kita terus menyemai sikap hormat-menghormati, bertolak ansur, dan bersolidariti. Inilah teras kekuatan negara kita, perpaduan yang utuh di tengah-tengah kepelbagaian,” katanya menerusi hantaran berserta video ucapan di Facebook hari ini.
Sementara itu, Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang menyeru rakyat agar membuka ruang untuk bermaaf-bermaafan serta memperkukuh hubungan sesama mereka tanpa mengira bangsa, agama, dan budaya.
Beliau berkata hanya dengan sikap saling memahami dan menghormati, negara mampu memelihara keharmonian serta memastikan Malaysia terus aman dan sejahtera.
“Semoga kedatangan Syawal ini membawa sinar kegembiraan, keberkatan, dan kesejahteraan kepada semua. Dalam semangat perpaduan, marilah kita terus memupuk rasa hormat, kasih sayang, dan keprihatinan antara satu sama lain,” katanya.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R Ramanan turut mengajak rakyat agar terus memperkukuh perpaduan, menyemai kasih sayang dan melangkah ke hadapan dengan semangat kebersamaan demi masa depan yang lebih gemilang.
“Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin. Semoga Syawal yang mulia ini membawa keberkatan, kedamaian dan kebahagiaan buat kita semua,” katanya.
Dalam pada itu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Chang Lih Kang turut menyampaikan ucapan selamat hari raya kepada seluruh umat Islam, di samping menyeru agar semangat Malaysia MADANI terus diperkasakan.
Sementara itu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata sambutan Aidilfitri seharusnya mengajar erti kesederhanaan, disiplin dan kebersamaan dalam memastikan kestabilan negara serta keterjaminan makanan terus terpelihara menerusi pengurusan cekap dan strategik.
Beliau turut menasihati orang ramai agar tidak melakukan pembelian panik hanya disebabkan khabar angin yang tidak berasas sehingga mendorong kepada pembelian berlebihan.
“Jangan kerana satu, dua khabar angin, kita membeli berlebihan. Belilah ikut keperluan, berbelanja secara berhemat dan elakkan pembaziran. Sokonglah juga produk tempatan,” katanya.
Dalam pada itu, Mohamad berkata rakyat perlu bersiap sedia kerana dunia hari ini penuh dengan ketidaktentuan serta menekankan bahawa sikap itu bukan tanda ketakutan, sebaliknya lambang kematangan dan pemikiran jauh.
“Saya yakin Kerajaan MADANI akan terus melindungi rakyat dengan segala kemampuan yang ada, namun rakyat juga perlu membantu dengan menyebarkan kebenaran serta menjauhi fitnah dan berita palsu,” katanya.
Senada dengan mesej kebersamaan, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri, Nancy Shukri berkata Aidilfitri bukan sekadar perayaan, tetapi juga platform menghargai hubungan serta memperkukuh silaturahim tanpa mengira latar belakang.
“Semoga semangat kebersamaan ini terus mekar, dan semoga kita semua dikurniakan kesihatan, kebahagiaan serta keberkatan yang berpanjangan,” katanya.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming pula menyeru rakyat agar mengambil kesempatan itu untuk saling bermaafan dan memupuk semangat kebersamaan demi masa depan negara yang lebih gemilang.
Dalam pada itu, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup mengajak rakyat mengamalkan konsep #RayaLestari dengan mengelakkan pembaziran makanan, mengurangkan penggunaan plastik sekali guna serta mengurus sisa dengan bijak demi ekosistem.
“Kita berkongsi satu bumi yang sama, maka tanggungjawab menjaga kelestarian alam ini ialah amanah kita merentas agama dan bangsa. Semoga keriangan Syawal tahun ini membawa keberkatan tanpa meninggalkan beban buat alam pada masa hadapan,” katanya.– BERNAMA
