KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof mengajak umat Islam meraikan Aidilfitri tahun ini dengan sederhana namun penuh makna.
Beliau berkata dunia hari ini masih berdepan konflik dan peperangan di beberapa rantau termasuk di Asia Barat yang melibatkan Gaza–Palestin, serta ketegangan antara Iran, Israel dan Amerika Syarikat yang terus menjejaskan kestabilan serantau.
Katanya di Eropah Timur, konflik Russia–Ukraine yang berpanjangan masih belum menemui noktah, manakala di Asia Selatan, ketegangan antara Pakistan dan Afghanistan turut menambah tekanan kepada keamanan serantau.
Beliau berkata keadaan itu bukan sahaja menjejaskan keselamatan dunia, malah memberi kesan besar kepada ekonomi global termasuk gangguan bekalan tenaga dan makanan, kenaikan harga komoditi, serta ketidaktentuan pasaran antarabangsa.
Tempiasnya, katanya turut dirasai Malaysia apabila kos sara hidup meningkat, rantaian bekalan terjejas dan ekonomi menjadi lebih mencabar, sekali gus menuntut semua pihak untuk lebih berhemah dan berwaspada dalam setiap perbelanjaan.
“Dalam suasana dunia yang tidak menentu, setiap sen yang kita jimatkan memberi makna besar kepada masa depan kita dan keluarga.
“Namun begitu, janganlah keadaan ini memadamkan kemeriahan hari raya. Hakikatnya, kemeriahan sebenar bukan pada kemewahan, tetapi pada kebersamaan seperti duduk semeja, saling memaafkan, menghargai keluarga tersayang dan memperkukuhkan hubungan dengan rakan-rakan dari pelbagai kaum dan agama,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Langkah berhemah bantu rakyat
Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, berkata kerajaan mengambil beberapa langkah berhemah membantu rakyat menghadapi krisis global, termasuk melaksanakan subsidi bersasar dan mengurus harga bahan api secara bertanggungjawab, walaupun berdepan kenaikan harga minyak dunia.
Di samping itu, beliau berkata Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 2 telah diawalkan, manakala Bantuan Khas Kewangan kepada penjawat awam turut disalurkan, selain pemberian cuti tambahan bagi memudahkan persiapan Aidilfitri dan perjalanan pulang ke kampung dan usaha itu diharap dapat meringankan beban serta membawa kegembiraan kepada rakyat.
“Kerajaan akan terus berusaha memastikan kestabilan melalui kawalan harga barang keperluan, pengukuhan jaringan keselamatan sosial, bantuan bersasar kepada rakyat, serta usaha memperkukuh ekonomi domestik supaya kita tidak terlalu bergantung kepada faktor luar. Di sebalik setiap dasar dan keputusan yang dibuat, ada matlamat kerajaan yang jelas, iaitu membantu rakyat meneruskan kehidupan dengan lebih baik.
“Namun, kekuatan Malaysia bukan hanya terletak pada dasar kerajaan sahaja, tetapi juga pada rakyatnya. Dalam suasana mencabar ini, marilah kita memelihara perpaduan yang menjadi tunjang negara dengan saling menghormati, menjaga sensitiviti, tolong-menolong, dan memahami antara kaum. Jangan biarkan perbezaan memecahkan kita, sebaliknya jadikan kepelbagaian itu sebagai sumber kekuatan,” katanya.
Fadillah berkata hari raya yang akan disambut umat Islam esok adalah waktu terbaik untuk rakyat merapatkan kembali silaturahim, memaafkan dan memperkukuhkan jambatan perpaduan.
“Negara ini hanya akan terus kukuh jika rakyatnya bersatu hati, segulai sejalai,” katanya.-BH Online
