Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PUTRAJAYA: Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) memberikan jaminan kebajikan keluarga petugas Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) yang hilang di Sungai Pandaruan, Limbang, akan terus diberi perhatian sepanjang tempoh operasi mencari dan menyelamat (SAR).

Menterinya, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata beliau telah mengarahkan JUPEM supaya menyalurkan segala bentuk bantuan yang diperlukan termasuk sokongan moral, serta penyelarasan kebajikan kepada keluarga mangsa sepanjang tempoh pencarian dan proses seterusnya.

“Marilah kita bersama-sama mendoakan agar urusan pasukan SAR dipermudah dan keluarga mangsa diberikan ketabahan serta kekuatan dalam menghadapi dugaan ini.

“NRES akan terus memantau perkembangan operasi SAR dari semasa ke semasa, dan memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa di Sarawak bagi memastikan segala usaha dilakukan untuk menemukan mangsa,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Arthur berkata beliau telah dimaklumkan mengenai insiden menyedihkan yang menimpa seorang petugas JUPEM, yang dilaporkan hilang dibawa arus deras ketika sedang menjalankan tugas pengukuran sempadan antarabangsa Malaysia-Brunei di Sungai Pandaruan.

Beliau berkata insiden itu amat menyedihkan dan merakamkan rasa simpati serta dukacita kepada keluarga mangsa.

“Kami memahami bahawa ini ialah waktu yang amat sukar dan mencabar bagi mereka. Mangsa merupakan seorang penjawat awam yang berdedikasi.

“Tugasan pengukuran sempadan bukanlah satu tugas yang mudah dan ia menuntut keberanian serta pengorbanan yang tinggi demi kedaulatan serta kepentingan negara di kawasan yang sering kali mempunyai muka bumi yang mencabar,” katanya.-BERNAMA