Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Lembaga Tabung Haji (TH) bercadang untuk meningkatkan pelaburan dalam pasaran ekuiti sejajar usahanya untuk memberikan pulangan yang mampan kepada pendeposit sambil memperkukuh kerangka kewangannya.

Pengerusi TH, Tan Sri Abdul Rashid Hussain, berkata pada tahun lalu, pendedahan ekuiti meningkat kepada 28 peratus daripada keseluruhan portfolio, berbanding sekitar 23 hingga 25 peratus pada tahun sebelumnya.

Katanya, peningkatan itu masih berada dalam kerangka Alokasi Aset Strategik (SAA) TH, yang membenarkan pendedahan sehingga hampir 32 peratus dalam ekuiti.

“Kami ingin meningkatkan dividen kami untuk masa hadapan. Justeru, dari sudut pandang yang realistik, tidak dapat dielakkan bahawa kami perlu bergerak ke arah meningkatkan (pelaburan) ekuiti kami,” katanya pada sidang media sempena pengumuman agihan keuntungan TH 2025 di sini, hari ini

Hadir sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan dan Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Mustakim Mohamad.

TH mengumumkan agihan keuntungan sebanyak 3.50 peratus bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025, tertinggi dalam lapan tahun.

Abdul Rashid berkata, keputusan tahun 2025 adalah prestasi kewangan terbaik dalam tempoh lapan tahun, sekali gus membuktikan keberkesanan strategi pelaburan yang berdisiplin serta rangka kerja tadbir urus yang diperkukuh.

Menurutnya, TH akan terus memberikan pulangan yang mampan kepada pendeposit sambil memperkukuh kerangka kewangannya.

Katanya, kedudukan lembaran imbangan yang semakin mantap mencerminkan pengurusan kewangan yang berdisiplin, tadbir urus yang lebih cekap serta portfolio pelaburan yang kukuh.

Beliau turut menegaskan bahawa dalam suasana global yang semakin tidak menentu, TH kekal fokus melindungi simpanan pendeposit sambil memastikan pulangan yang kompetitif dan mampan.

TH mencatat jumlah pendapatan pelaburan sebanyak RM4.64 bilion pada 2025 berbanding RM4.56 bilion pada 2024.

Aset pelaburan meningkat daripada RM95.06 bilion kepada RM96.37 bilion, mencerminkan pertumbuhan portfolio berterusan dengan mengekalkan struktur alokasi aset yang seimbang.

Pendapatan tetap mewakili 53 peratus daripada jumlah pendapatan, kekal sebagai penyumbang utama, diikuti ekuiti sebanyak 34 peratus. 

Ekuiti persendirian mencatat pulangan pelaburan (ROI) tertinggi sebanyak 8.29 peratus mencerminkan aktiviti yang kukuh sepanjang tahun. 

Ekuiti luar negara pula merekodkan ROI sebanyak 7.03 peratus, manakala ekuiti domestik mencatatkan 5.47 peratus.

Kedudukan kewangan TH kekal kukuh dengan jumlah aset RM98.58 bilion, melebihi liabiliti sebanyak RM95.63 bilion.-BH Online