Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

SHAH ALAM: Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, mengingatkan orang ramai supaya tidak menjadikan jalan raya sebagai ‘ tong sampah’ terutamanya sepanjang musim perayaan ini.

Beliau berkata, lebih 300 penguat kuasa Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) bertugas memantau keadaan sempena raya kali ini dan sekiranya ditangkap, denda RM2,000 dan hukuman Perintah Khidmat Masyarakat selama 12 jam menunggu.

“Jika ada sampah, simpan dalam kereta dan apabila sampai ke destinasi, buang dalam tong sampah. 

“Hukuman khidmat masyarakat menanti anda (jika ditangkap). Tak kira kamu siapa…yang dewasa, kanak-kanak ataupun warga asing, hukuman itu terpakai kepada semua orang,” katanya selepas menyempurnakan Peluncuran Projek ‘Sort, Drop & Recycle The Carton’ Oleh Tetra Pak di Aeon Mall Shah Alam, Seksyen 13 di sini hari ini.

Media sebelum ini melaporkan, Perintah Khidmat Masyarakat di bawah di bawah Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) berkuatkuasa 1 Januari lalu sebagai hukuman menangani isu pembuangan sampah kecil di tempat awam.

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dalam kenyataan 31 Disember lalu memaklumkan pelaksanaan hukuman Perintah Khidmat Masyarakat akan berkuat di Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perlis, dan Kedah serta dua Wilayah Persekutuan iaitu Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Bagi Pulau Pinang, Selangor, Kelantan dan Terengganu yang tidak menggunakan Akta 672, pelaksanaan perintah berkenaan akan bermula secepat mungkin tertakluk kelulusan pihak berkuasa negeri masing-masing.

Dalam pada itu, Kor Ming berkata 1,054 ‘ulat sampah’ atau mereka membuang sampah merata-rata di tempat awam ditangkap di seluruh negara setakat pagi ini dan mereka akan didakwa di mahkamah.

“Ramai sudah mula menjalani hukuman khidmat masyarakat. Ada dikompaun RM2,000, (dihukum) buat kerja sapu jalan, cuci longkang, cuci tandas selama 12 jam. 

“Jika satu hari tidak boleh selesai, kena buat enam kali iaitu satu hari dua jam sehingga selesai enam kali,” katanya memaklumkan mereka yang melakukan kesalahan kecil membuang sampah ini antaranya majoriti membuang puntung rokok. 

“Jangan kerana satu puntung rokok dibuang, kamu didenda RM2,000, sapu jalan 12 jam. Tidak berbaloi,” katanya.-BH Online