Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) dan Kerajaan Terengganu hari ini secara rasmi memeterai Perjanjian Penyelesaian bagi memperkemas status pemberimilikan ladang komersial membabitkan enam daerah iaitu Besut, Setiu, Dungun, Hulu Terengganu, Marang dan Kemaman.

Langkah itu menandakan kesinambungan sejarah kerjasama yang bermula sejak 1969 melalui Perjanjian-Perjanjian Rancangan Kemajuan Tanah (“Perjanjian Negeri Terengganu”) berasaskan Akta Tanah (Kawasan Penempatan Berkelompok) 1960 [Akta 530].

Menurut kenyataan FELDA, penyelesaian berkenaan dijangka memberi manfaat ekonomi kepada warga komunitinya secara menyeluruh serta menyokong agenda pembangunan sosioekonomi dan kesejahteraan mereka.

FELDA berterima kasih kepada Kerajaan Persekutuan yang bertindak sebagai pemudah cara utama. FELDA turut mengucapkan terima kasih kepada pihak kerajaan negeri Terengganu dan semua yang terbabit dalam memuktamadkan perjanjian ini.

“Kerjasama erat antara peringkat Persekutuan, negeri dan FELDA menjadi pemacu utama kepada penyelesaian yang harmoni ini, sekali gus mencerminkan

keberkesanan tadbir urus demi kepentingan rakyat,” menurut kenyatan itu.

Pada 29 November tahun lalu, kerajaan negeri mengeluarkan notis larangan menceroboh tanah diusahakan FELDA membabitkan 10 ladang seluas kira-kira 18,000 hektar di enam daerah di Terengganu.

Langkah itu dilakukan selepas agensi berkenaan gagal memberi maklum balas terhadap tuntutan bayaran 30 peratus hasil keuntungan tanah ladang diusahakan itu.-BH Online