Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Prestasi agihan keuntungan Lembaga Tabung Haji (TH) tertinggi dalam tempoh lapan tahun adalah hasil pembaharuan yang menekankan tatakelola, memperbetulkan asas institusi serta mengembalikan disiplin dan kebertanggungjawaban pengurusan institusi.

Menerusi hantaran di Facebook hari ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata pembaharuan itu juga adalah ikhtiar untuk kembali mengangkat dan memartabatkan TH selaras dengan semangat asal penubuhannya yang berteraskan pengurusan amanah dan tanggungjawab terhadap kepentingan umat Islam.

“Alhamdulillah, pengumuman dividen Tabung Haji (TH) hari ini yang mencatat prestasi terbaik dalam tempoh lapan tahun hadir sebagai khabar gembira buat umat Islam menjelang Aidilfitri.

“Semoga khabar baik ini menambah rasa syukur dan ketenangan dalam menyambut Aidilfitri, serta memperkukuh keyakinan umat terhadap usaha kita untuk terus memelihara institusi ini demi kepentingan bersama, insya-Allah,” katanya.

TH hari ini mengumumkan agihan keuntungan selepas zakat sebanyak 3.50 peratus bagi tahun kewangan 2025, kadar tertinggi sejak 2018.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan berkata keseluruhan agihan keuntungan berjumlah RM3.22 bilion, yang memberi manfaat kepada lebih 9.7 juta pendeposit TH.

Kadar terbabit dicapai selepas mengambil kira pelunasan zakat pada kadar 2.577 peratus (RM95.3 juta).-BH Online