Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PUTRAJAYA: Skim Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) akan diteliti dengan lebih rapi bagi menangani masalah penyeludupan diesel di Sabah dan Sarawak.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil, berkata penelitian itu merangkumi penilaian sama ada mekanisme sedia ada wajar diteruskan atau digantikan dengan pendekatan baharu.

“Mesyuarat Jemaah Menteri diberi sedikit maklum balas mengenai mesyuarat yang diadakan oleh jawatankuasa penguatkuasaan, terutama dalam usaha menangani masalah penyeludupan diesel di Sabah dan Sarawak.

“Antara yang diberi penegasan adalah mekanisme Skim Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) yang mungkin perlu diteliti dengan lebih rapi, sama ada diteruskan dengan mekanisme sedia ada atau dirangka satu mekanisme yang berbeza,” katanya pada sidang media pasca mesyuarat Jemaah Menteri di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata, agensi penguatkuasaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) akan diperkemas dan diselaraskan bagi meningkatkan keberkesanan dalam membanteras penyeludupan diesel di Sabah dan Sarawak.

Katanya, di bawah penyelarasan baharu itu, KPDN akan menguruskan penguatkuasaan di bahagian darat, manakala Maritim Malaysia bertanggungjawab di perairan serta sungai.

“KPDN akan menguruskan penguatkuasaan di bahagian darat, manakala APMM (Maritim Malaysia) yang akan menguruskan di kawasan perairan dan juga di kawasan sungai, sekarang ada sedikit perbincangan dan juga kawasan sempadan akan diuruskan oleh AKPS (Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan),” katanya.

Dalam perkembangan lain, Fahmi yang juga Menteri Komunikasi memaklumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta semua menteri untuk lebih proaktif dalam mengadakan sesi libat urus susulan konflik yang berlaku di Asia Barat.

“Ia seperti dilakukan Menteri Pengangkutan yang mengadakan perbincangan dengan sektor penerbangan yang mana kesan daripada apa yang sedang berlaku di Asia Barat memberi impak terhadap sektor terbabit.

“Apa yang akan dibuat selepas ini adalah mengumpulkan semua dapatan dan hasil daripada keseluruhan dapatan itu, secara keseluruhan (akan) memberi satu hala tuju untuk usaha dan inisiatif serta bantuan daripada kerajaan untuk sektor-sektor tertentu sekiranya itu dilihat perlu,” katanya.-BH Online