KUALA LUMPUR: Program Road to Gold (RTG) bakal dinilai semula selepas sambutan Aidilfitri apabila jawatankuasa berkaitan dijangka bermesyuarat bagi meneliti keberkesanan program itu termasuk kemungkinan menambah sukan baharu yang berpotensi menghadiahkan pingat emas pertama negara di Sukan Olimpik.
Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata, langkah itu adalah sebahagian daripada usaha kerajaan untuk memperkukuh pelaksanaan RTG dalam memastikan sasaran memburu emas Olimpik dapat direalisasikan.
Menurut beliau, kerajaan mahu memastikan dana yang disalurkan menerusi program berkenaan digunakan secara optimum bagi membantu atlet elit negara mencapai prestasi terbaik.
“Kami akan memanggil jawatankuasa RTG selepas Aidilfitri bagi membincangkan dan menyelaraskan semula strategi program ini.
“Kita mahu pastikan dana yang diperuntukkan benar-benar memberi hasil serta membantu negara meraih pingat emas Olimpik pertama,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan lawatan ke kem latihan skuad badminton negara di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara.
Taufiq berkata, antara perkara yang akan dibincangkan dalam mesyuarat itu termasuk kemungkinan memperluaskan program RTG dengan memasukkan lebih banyak sukan berprestasi tinggi.
Menurutnya, beberapa sukan lain yang mempunyai potensi besar untuk menyumbang pingat di Sukan Olimpik juga akan dinilai secara lebih terperinci.
Beliau berkata pihak kementerian turut merancang mengadakan sesi libat urus bersama atlet serta persatuan sukan masing-masing bagi mendapatkan pandangan mereka mengenai pelaksanaan program itu.
Katanya, pendekatan itu penting bagi memastikan RTG kekal relevan serta mampu memberikan impak besar kepada pembangunan sukan berprestasi tinggi negara.
Dalam masa sama, beliau berkata perbincangan awal sudah pun dimulakan bersama Majlis Sukan Negara (MSN) bagi meneliti potensi sukan lain yang boleh dimasukkan dalam program berkenaan.-BH Online
