Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

SHAH ALAM: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mencipta sejarah apabila Karnival Jom Masuk Universiti 2026 (JMU) Zon Tengah I yang dianjurkan secara maya menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) bagi kategori Karnival Pendidikan Tinggi Maya Terbesar.

Karnival yang berlangsung dua hari bermula semalam 17 Mac itu membabitkan penyertaan semua universiti awam dan pelbagai agensi pendidikan tinggi, dengan Universiti Teknologi MARA (UiTM) bertindak sebagai tuan rumah bagi penganjuran Zon Tengah I.

Naib Canselor UiTM, Prof Datuk Ts Dr Shahrin Sahib @ Sahibuddin, berkata penganjuran karnival secara maya itu pendekatan inovatif yang selari dengan keperluan transformasi digital dalam penyampaian maklumat pendidikan tinggi kepada masyarakat.

Beliau berkata, Karnival Jom Masuk Universiti adalah inisiatif penting KPT dalam membantu pelajar lepasan sekolah dan ibu bapa mendapatkan maklumat secara terus mengenai peluang melanjutkan pengajian di institusi pendidikan tinggi (IPT).

“Karnival ini membuka ruang kepada pelajar mendapatkan maklumat berkaitan laluan pendidikan tinggi, program pengajian dan peluang ditawarkan universiti awam, IPT awam, MARA Bahagian Pendidikan Tinggi dan juga IPT swasta,” katanya.

Beliau turut menghargai sokongan Maxis selaku rakan penaja dan rakan industri dalam menjayakan program berkenaan.

“Kami berharap platform ini dapat membantu pelajar membuat keputusan lebih jelas mengenai laluan pendidikan tinggi mereka, sekali gus melahirkan graduan yang berilmu, berkemahiran dan mampu menyumbang kepada pembangunan negara,” katanya.

Bagi menyokong pelaksanaan karnival secara maya itu, UiTM turut membangunkan platform digital khas, jommasuku.uitm.edu.my, menggunakan kepakaran warga universiti itu bagi memastikan pengalaman interaktif kepada pengunjung.

Karnival JMU 2026 Zon Tengah I secara virtual kali ini membabitkan penyertaan 62 agensi dan IPT yang membuka reruai maya untuk memberikan maklumat berkaitan peluang pengajian kepada pelajar.

Penganjur pada asalnya menetapkan sasaran sekurang-kurangnya 240 reruai maya, namun sambutan menggalakkan pelbagai institusi meningkatkan jumlah itu kepada 386 reruai maya sepanjang penganjuran karnival berakhir hari ini.

Sebagai tuan rumah, UiTM turut membuka 37 reruai maya membabitkan semua fakulti dan jabatan di universiti itu bagi memberikan maklumat secara langsung kepada pelajar yang berminat.

Penganjuran Karnival JMU 2026 Zon Tengah I secara maya itu juga mencerminkan komitmen berterusan KPT dan institusi pendidikan tinggi dalam memperluaskan akses maklumat pendidikan tinggi secara inklusif kepada masyarakat.-BH Online